Politik Pas-UMNO bukan isu akidah: Mengapa akidah dijadikan senjata sebelum ini?
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Parti Amanah Negara (AMANAH) menegaskan bahawa kenyataan terbaharu Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang yang menyifatkan pertembungan Pas–UMNO sebagai “isu pendekatan, bukan isu akidah” membuka persoalan besar terhadap sejarah dan kesan politik pengakidahan yang telah lama membebankan umat Islam.
Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, perubahan nada tersebut bukan sekadar pelarasan politik sebaliknya satu pengakuan tidak langsung bahawa akidah pernah diperalatkan dalam konflik politik, sebelum diturunkan nilainya apabila keperluan kuasa berubah.
"Ia adalah pengakuan (secara) tidak langsung bahawa akidah pernah diperalatkan dalam konflik politik, dan kini diturunkan nilainya apabila keperluan kuasa berubah," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Mahfuz, sejarah "Amanat Hadi" sejak awal 1980-an tidak boleh dipadamkan kerana wacana tersebut telah membentuk kerangka politik yang mengaitkan perbezaan parti dengan iman, akidah dan walak, sekali gus memberi kesan mendalam kepada kehidupan sosial umat Islam.
"Amanat tersebut sama ada disandarkan kepada konteks atau tafsiran tertentu ia telah digunakan secara meluas untuk membezakan “politik Islam” dan “politik bukan Islam”, dan kesannya meresap ke akar umbi selama puluhan tahun," tegasnya.
Beliau berkata, apabila kini dinyatakan bahawa konflik Pas–UMNO bukan isu akidah, Pas perlu berdepan persoalan moral yang paling asas.
"Jika benar ia bukan isu akidah, mengapa akidah dijadikan senjata politik selama ini?
"(jika) Ia bukan isu akidah sejak awal maka Pas telah mengelirukan umat secara sistematik. (jika) Ia berubah mengikut keadaan, maka Pas telah memperdagangkan akidah mengikut keperluan kuasa," katanya.
Mahfuz turut mengkritik perubahan pendirian tersebut yang berlaku tanpa pengakuan kesilapan, tanpa penjelasan terbuka dan tanpa usaha memulihkan kerosakan sosial akibat politik pengakidahan yang berlarutan selama puluhan tahun.
Menurut beliau, Islam tidak mengajar akidah dijadikan alat kempen atau mata wang rundingan kuasa.
"Akidah bukan perisai untuk menutup percanggahan prinsip. Islam membenarkan perubahan strategi, tetapi tidak membenarkan manipulasi kefahaman umat," katanya.
Mahfuz menegaskan isu sebenar hari ini bukan soal Pas mahu bekerjasama dengan UMNO atau sebaliknya, tetapi liabiliti moral kepimpinan Pas terhadap perpecahan umat yang terhasil apabila agama dipolitikkan, kemudian dinyahakidahkan tanpa tanggungjawab.
"Umat Islam berhak menuntut penjelasan jujur tentang kesilapan lampau, pembetulan terbuka terhadap naratif mengelirukan, dan komitmen jelas bahawa akidah tidak lagi akan dijadikan alat politik," katanya.
Beliau menambah, selagi perkara itu tidak dilakukan, kenyataan bahawa Pas–UMNO bukan isu akidah hanyalah pengakuan lewat terhadap kegagalan besar membezakan antara agama sebagai amanah dan politik sebagai kuasa.









Comments