Politik Melaka dan Tokoh "Tiga Serangkai"
- Suara Keadilan

- 3 hours ago
- 3 min read

Oleh: Mohd Hasni Izuwan
ULASAN: Politik Melaka bukan lagi soal bendera, tapi soal personaliti dan integriti. Kalau kita bedah landskap politik negeri ini, ada tiga figura yang memegang kunci kekuatan berbeza. Jika mereka bersatu, landskap Melaka boleh berubah sekelip mata. Ini bukan ramalan, ini adalah analisis realiti di lapangan.
Pertama, Adly Zahari, kekuatan beliau adalah pada "latar belakang islamik" yang tulen. Bukan simbol kopiah di kepala, tapi peribadi beliau dan ahli keluarga yang merendah diri menjadi magnet di kawasan rural dan semi-rural. Orang kampung tak perlukan menteri yang datang dengan protokol mewah, mereka mahu "Haji Adly" yang mereka kenal sebagai pemimpin berjiwa rakyat.
Sejarah membuktikan, Adly adalah pemimpin yang meruntuhkan tembok birokrasi. Beliau yang memulakan tradisi Hari Bertemu Rakyat di Seri Bendahara setiap Jumaat (kemudian ditukar ke Khamis). Bayangkan, kediaman rasmi Ketua Menteri yang mewah dibuka seluas-luasnya untuk sesiapa sahaja datang mengadu tanpa tapisan ketat. Integriti bersih beliau adalah "senjata" yang paling ditakuti lawan di Melaka.
Ungkapan Giant Killer
Kedua, Datuk Seri Shamsul Iskandar, kemenangan beliau dengan jolokan "Giant Killer" membuka lembaran baru bagi bertapak nya Pakatan Harapan di Melaka dengan menumbangkan gergasi politik di Melaka. Latar belakang agama beliau memberi dimensi moral dalam kepimpinannya. Walaupun kini berdepan ujian pertuduhan di mahkamah, ramai yang melihatnya sebagai serangan politik untuk menjatuh kan reputasi dan imej beliau, kerana rekod perkhidmatannya selama dua penggal sebagai Ahli Parlimen adalah bersih tanpa cela.
Rekod pengurusan dana di Parlimen Hang Tuah Jaya jutaan ringgit di bawah kelolaan beliau di perincikan telus. Setiap sen di bentang sebagai laporan awam. Ada bait ayat beliau di bilik mesyuarat dengan tegas mengatakan - "Saya tidak mahu pegawai atau rakan saya 'makan' peruntukan orang miskin," menjadi bualan kakitangan yang pernah bekerja di bawahnya. Standard integriti inilah yang membuatkan pengundi bandar dan separa bandar kekal setia.
Ingat lagi tsunami di Bagan Datuk? Walaupun kawasan itu dikategorikan sebagai rural dan kubu kuat yang mustahil di tembusi, Shamsul Iskandar berjaya mencetuskan gelombang anak muda yang luar biasa. Isyarat akhir pilihanraya lalu dengan menyatakan hasrat "kami ingin menumbangkan Zahid Hamidi" yang dibawa oleh warga tempatan membuktikan pengaruh beliau melangkaui sempadan Melaka. Beliau mempunyai keupayaan luar biasa untuk "menembusi" kawasan yang dianggap mustahil.
Pelindung semua kaum
Ketiga, di Kota Melaka, YB Khoo Poay Tiong. Sebagai Pengerusi DAP Melaka, beliau adalah antitesis kepada segala retorik kotor yang dilemparkan terhadap partinya. Beliau membuktikan bahawa pemimpin DAP tidak lah perkauman seperti retorik tohmahan seteru, bahkan boleh menjadi pelindung kepada semua kaum. Lihat sahaja bagaimana beliau bekerjasama erat dengan ADUN Duyong (walaupun berbeza parti) untuk mengumpul dana puluhan ribu dalam tempoh singkat bagi membantu warga emas yang ditimpa musibah.
Kerjasama beliau dengan ADUN Duyong dalam isu naik taraf Masjid, adalah bukti jelas bahawa pimpinan DAP meletakkan kepentingan rakyat melebihi birokrasi politik. Di bawah pimpinannya, DAP Melaka dilihat sebagai rakan strategik yang inklusif, bukan ancaman. Beliau adalah jambatan yang menghubungkan sentimen bandar dengan keperluan masyarakat Melayu.
Legenda "The Three Sovereigns"
Gabungan tiga tokoh ini mengingatkan kita kepada legenda "The Three Sovereigns" dalam falsafah purba, tiga pemimpin yang memiliki kearifan, kekuatan, dan nilai kemanusiaan yang berbeza namun bersatu demi menyelamatkan tamadun daripada keruntuhan moral. Mereka bukan bersaing, tapi saling melengkapi untuk membentuk satu blok politik yang sukar digugat.
Adly memegang hati orang kampung, Shamsul memacu integriti dan keberanian, manakala Khoo menjamin kestabilan dan keadilan rentas kaum. Inilah formula "Tiga Serangkai" yang mampu memulihkan keyakinan rakyat bahawa Melaka boleh ditadbir dengan bermaruah tanpa rasuah dan salah guna kuasa.
Dapatan ini menunjukkan bahawa sokongan rakyat akan kembali dominan kepada Pakatan Harapan jika naratif peribadi yang bersih dan khidmat tanpa birokrasi ini terus diperkasakan. Rakyat Melaka sudah bijak, mereka tidak lagi memilih parti yang bermewahan belanja duit rakyat, tetapi mereka menilai "track record" dan "jiwa" pemimpin itu sendiri.
Jika sejarah kegemilangan Melaka dahulu dibina atas kebijaksanaan pemimpinnya dan keteguhan laksaman nya, maka masa depan Melaka hari ini bergantung kepada pundak kebersamaan tiga kekuatan ini. Mereka adalah benteng terakhir yang akan memastikan suara rakyat tidak lagi dipinggirkan. Melaka jelas menolak dominasi yang menebal kan poket pemimpin dan membukam suara rakyat.
Tulisan ini merupakan pendapat peribadi penulis, bukan pendirian rasmi Suara Keadilan




Comments