Politik melabel cetus perpecahan, bercanggah roh Islam
- Suara Keadilan

- 4 hours ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Pendekatan politik yang gemar melabel pihak lain dengan istilah keras seperti “syaitan bisu” bukanlah jalan untuk menyatukan umat, sebaliknya mencetuskan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata label disandarkan kepada perbezaan pendirian politik adalah tidak matang dan bercanggah dengan roh Islam yang menekankan nilai rahmah, hikmah serta akhlak.
"Islam tidak mengajar umatnya menghukum dengan label, sebaliknya membimbing dengan ilmu, hikmah dan akhlak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahfuz mengulas kenyataan Presiden Pas, Hj Abdul Hadi Awang, sebelum ini yang menyifatkan pihak yang menyokong Kerajaan Perpaduan sebagai “syaitan bisu”, selain menggambarkan kerjasama politik merentas parti dan kaum sebagai bebas daripada sempadan ketetapan Allah.
Kenyataan Abdul Hadi itu dibuat dalam konteks kritikan terhadap Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15 melibatkan gabungan parti pelbagai latar ideologi dan kaum termasuk parti bukan Islam.
Mahfuz menegaskan perbezaan pandangan dalam urusan siasah adalah suatu realiti yang mempunyai hikmah tersendiri sejak zaman sahabat, dan tidak wajar mana-mana parti mendakwa dirinya paling hampir dengan kebenaran mutlak.
"Tiada satu parti politik pun yang boleh mendakwa dirinya paling hampir dengan ketetapan Allah secara mutlak," tegasnya.
Beliau turut mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan dibentuk mengikut lunas Perlembagaan, diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong serta mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen bagi menamatkan ketidaktentuan politik negara, dan mungkin juga formula sama diusahakan pembangkang sekiranya mempunyai cukup sokongan.
"Ia bukan kerajaan yang sempurna, tetapi ia lahir daripada tanggungjawab, bukan retorik kesucian."
Menurut Mahfuz, melabel kerajaan yang dipilih secara sah sebagai menyimpang hanya kerana melibatkan kepelbagaian pandangan dan latar masyarakat majmuk merupakan naratif berbahaya yang boleh mengelirukan umat serta merendahkan tradisi fiqh siasah Islam.
"Fiqh siasah sentiasa meraikan realiti kepelbagaian, bukan menafikannya," jelas beliau.
Mantan Ahli Parlimen Pkok Sena itu juga menyuarakan kebimbangan terhadap kecenderungan sebahagian ahli politik yang seolah-olah memonopoli tafsiran agama dan menafikan peranan ilmuwan serta pandangan ulama lain.
"Ini bukan budaya ilmu tetapi politik pengkultusan autoriti agama," sinisnya.
Mahfuz berkata, Islam tidak pernah gagal memimpin masyarakat majmuk, sebaliknya kegagalan sering berpunca daripada sikap ahli politik yang enggan memikul amanah kuasa.
"Rakyat hari ini tidak memerlukan siapa paling suci dalam kata-kata tetapi siapa paling amanah dalam mengurus negara, ekonomi dan kehidupan mereka," katanya lagi.









Comments