PM mahu persiapan rapi persekolahan umur 6 tahun dilakukan
- Suara Keadilan

- 2 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meminta Kementerian Pendidikan (KPM) meneliti secara menyeluruh aspek persiapan pelaksanaan, khususnya melibatkan prasekolah lima tahun dan kemasukan murid Tahun Satu berusia enam tahun.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata, PM menekankan perkara itu selepas meneliti beberapa maklum balas yang diterima susulan pengumuman dan peluncuran Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035.
"Diminta untuk meneliti proses bagi mempercepat mengikut tatacara yang rapi tapi (pada masa sama) juga bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian Kerja Raya (KKR) khususnya Jabatan Kerja Raya (JKR) kerana untuk menyiapkan bilik-bilik darjah yang baharu, ia menggunakan sistem Industrial Building System (IBS) yang memerlukan kerjasama baik dengan pihak JKR.
"Guru-guru juga perlu disiap siagakan melalui Institut Pendidikan Guru (IPG) sekiranya terdapat penambahan pelajar dalam Tahun Satu.
"Ini memandangkan tahun depan kita berkemungkinan akan ada budak-budak yang berumur enam tahun atau tujuh tahun (secara) bersekali.
"Jadi perlu pertambahan guru.. tapi ada juga permintaan daripada institusi seperti maahad tahfiz yang inginkan guru-guru terutama bagi Tingkatan Satu ke atas dalam persiapan mereka untuk mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) khususnya bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah," katanya.
Fahmi berkata demikian dalam sidang media pasca Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan di Putrajaya hari ini.
Bermula tahun hadapan, landskap pendidikan awal kanak-kanak negara bakal melalui perubahan penting apabila Kerajaan MADANI mengumumkan pelarasan umur kemasukan ke sistem persekolahan.
Pendidikan prasekolah akan dimulakan pada usia lima tahun manakala kemasukan ke Tahun Satu pula diselaraskan kepada usia enam tahun.
Anwar yang mengumumkan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Peluncuran RPN pada 20 Januari lalu bagaimanapun menjelaskan, perubahan itu masih belum diwajibkan kepada ibu bapa bagi memberi ruang kepada pelbagai pihak bersedia kepada persekitaran baru pendidikan khususnya warga pendidik.









Comments