Politik identiti tidak mampu bawa rakyat ke arah berpendapatan tinggi
- Akmal Manaf

- 41 minutes ago
- 1 min read

Politik yang terus memainkan sentimen ketakutan terhadap orang Melayu tanpa menawarkan penyelesaian konkrit dilihat tidak lagi relevan dalam menghadapi cabaran masa depan negara, sebaliknya tumpuan perlu diberikan kepada usaha memperkukuh ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Bagi Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar (gambar), pendekatan politik yang bergantung kepada naratif kononnya Melayu sentiasa terancam hanya akan mengulangi retorik lama tanpa menyelesaikan persoalan sebenar yang dihadapi masyarakat.
"Kita kena lihat ke hadapan. Rakyat Malaysia harus bersatu (untuk) mengangkat nama negara dan (juga) ekonomi.
"Seperkara lagi, politik identiti dan perkauman tidak mampu mengangkat negara menjadi negara berpendapatan tinggi," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tanggapan sesetengah pihak berhubung kesesuaian sokongan terhadap Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sekiranya perjuangan politik mereka dilihat bergantung kepada naratif yang menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang Melayu, termasuk dakwaan bahawa kedudukan Melayu berada dalam keadaan terancam.
Beliau berpendapat, acuan politik yang merangkumi kepentingan semua kaum sebagaimana dibawa oleh Pakatan Harapan lebih mampu menyediakan penyelesaian yang menyeluruh kepada rakyat, khususnya dalam memastikan peluang ekonomi, pendidikan dan pekerjaan dapat dinikmati secara adil tanpa mengira latar belakang.
Ujarnya, parti berbilang kaum seperti PH, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mampu menawarkan solusi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada orang Melayu, malah kepada semua kaum di negara ini.




Comments