Politik bukan sepak terajang rebut kuasa, kebajikan rakyat diutamakan - Anwar




Kecamukan politik Malaysia harus diselesaikan secara yang paling menguntungkan rakyat.


Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendapat tidak ada gunanya peralihan pentadbiran dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) kepada satu bentuk kerajaan baharu sekiranya hanya berkisar kepada perebutan kuasa.


Menurutnya, kerajaan baharu harus tertubuh di atas prinsip politik membela kebajikan rakyat dan menolak sistem usang yang dibelit korupsi atau kronisme.


"Kebelakangan ini ada pelbagai suara, tafsiran mengenai politik semasa, isu perlaihan kuasa dan sebagainya.


"Dalam keadaan sekarang ada pula yang cuba menangguk di air keruh, ada muncul jadi juara kononnya pendamai, penyelesai atau jambatan.


"Saya mahu tegaskan bahawa politik bukan sepak terajang politikus untuk mencari helah, taktik bagi merebut kuasa. Politik terkait dengan urus tadbir. Soal rakyat, apakah dasar yang dikemukakan? Apakah corak pentadbiran usang, lapuk, menindas seperti apa yang berlaku sekarang atau dahulu (mahu diterima)?


"Apakah politik bermakna memperkayakan sanak saudara dan puak kita? Politik tanpa dasar menjaga kepentingan rakyat jelata?" tanya Anwar dalam sesi siaran langsung Facebooknya semalam.


Kata Anwar lagi, Malaysia perlukan politik baharu yang mengutamakan penghayatan Islam, pemerkasaan Melayu, bumiputera dan rakyat sebagai teras dasar.


Polisi kerajaan pula ke arah menyelesaikan pandemik ekonomi dengan dasar yang boleh menarik pelabur, menjana perubahan dan menyelesaikan masalah sebahagian besar rakyat, terutama golongan miskin dan berpendapatan rendah.


Baginya, politik 'lama' yang dibelit kronisme dan nepotisme perlu ditolak sekiranya perlu menubuhkan kerajaan baharu dalam suasana pasca pandemik Covid 19.


"Saya secara peribadi untuk berdolak dalih dan bertolak ansur mengekalkan satu keadaan usang yang lama, agak sukar


"Saya fikir Malaysia dan rakyatnya mampu mencari jalan serta hala tuju baharu yang membawa perubahan.

"Politik dan penguasa bukan sandaran untuk memperkaya diri atau meneruskan nafsu serakah dan melemparkan dendam kesumat kepada orang. Tetapi mencari pendamaian, merangkul kekuatan. Ini bukan sahaja untuk menjamin kelangsungan masyarakat Melayu yang berasa resah tetapi juga negara yang indah bagi semua," katanya lagi.


Untuk rekod, sejak berakhirnya tempoh memberi jawapan penubuhan kerajaan baharu pada 16 Jun lalu, pelbagai andaian politik diutarakan oleh politikus dan penganalisis. Termasuk kerajaan baharu akan ditubuhkan melalui gabungan Pakatan Harapan dan unsur-unsur yang membentuk kerajaan sedia ada hari ini.


Bagaimanapun, kesemua pilihan yang ada kelihatan sukar memandangkan amalan kronisme dan nepotisme di sekitar tokoh-tokoh utama parti-parti politik.

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikut Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
  • radio