top of page

Politeknik bukan pilihan kedua, pilihan strategik teknologi, kemahiran

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 17 hours ago
  • 2 min read

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dinasihatkan agar tidak mensia siakan peluang untuk melanjutkan pendidikan ke politeknik memandangkan pusat latihan itu menyediakan laluan mudah untuk mendapat kerja selepas tamat pengajian.


Ahli Dewan Negeri Sentosa, Dr Gunaraj George (gambar) berkata, masyarakat khususnya pelajar dan ibu bapa perlu mengubah persepsi terhadap politeknik yang sering dianggap sebagai pilihan kedua dalam sistem pendidikan tinggi.


Katanya, sikap segelintir pelajar cemerlang yang tidak memohon atau menolak tawaran ke politeknik kerana beranggapan laluan universiti sahaja mampu menjamin masa depan amat dikesalkan.


"Saya terkejut apabila melihat seorang pelajar berkeputusan cemerlang langsung tidak memohon politeknik kerana hanya mahu ke universiti, malah sanggup meninggalkan ruang kosong dalam permohonan UPU," katanya dalam satu kenyataan.


Menurut beliau, pelajar perlu mendapatkan bimbingan guru dan kaunselor dalam membuat pilihan pengajian, meskipun pelbagai usaha termasuk program jelajah oleh pertubuhan seperti Concerned University Malaya Indian Graduates telah dilaksanakan bagi membantu pelajar membuat keputusan tepat.


Beliau menegaskan bahawa politeknik bukan institusi untuk pelajar kurang cemerlang, sebaliknya memainkan peranan penting dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang menjadi tulang belakang pembangunan negara.


"Di peringkat antarabangsa, institusi seperti Nanyang Polytechnic, Singapore Polytechnic dan Temasek Polytechnic di Singapura mendapat pengiktirafan tinggi dan menjadi pilihan ramai pelajar cemerlang.


"Negara-negara maju telah lama membuktikan bahawa pendidikan teknikal dan vokasional merupakan laluan strategik untuk membangunkan ekonomi berasaskan teknologi, inovasi dan industri bernilai tinggi," jelasnya.


Tambah beliau, institusi politeknik kini menawarkan pelbagai program relevan dengan keperluan Revolusi Industri 4.0 termasuk bidang teknologi kejuruteraan, automasi, kecerdasan buatan, analitik data, robotik dan teknologi maklumat.


Malah, katanya, perkembangan terkini turut menyaksikan pengenalan program Asasi TVET yang membuka lebih banyak peluang kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian dalam bidang teknikal dan profesional.


"Majikan hari ini semakin menilai kemahiran, kecekapan dan pengalaman industri seseorang graduan berbanding hanya melihat nama institusi pengajian semata-mata.


"Graduan yang mempunyai kemahiran teknikal dan pengalaman praktikal sering kali mempunyai kelebihan untuk memasuki pasaran pekerjaan dengan lebih pantas serta memenuhi keperluan industri yang sentiasa berkembang," ujarnya.


Sehubungan itu, beliau menggesa ibu bapa agar keluar daripada stigma lama yang menganggap politeknik sebagai laluan bagi pelajar yang gagal memasuki universiti.


"Politeknik bukan pilihan kedua. Politeknik juga adalah pilihan strategik untuk masa depan negara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page