
Kerajaan Selangor memperbanyak bantuan kepada rakyat sebaik sahaja Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan pada 11 Januari lalu.
Hal itu diutarakan dalam program bual bicara tiga Menteri Besar dan Ketua Menteri bersama Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, petang tadi.
Menurut Anwar, kerajaan Perikatan Nasional juga sering membincangkan masalah Covid 19 tetapi yang diutamakan adalah kesediaan kerajaan untuk mendengar masalah rakyat di bawah, adakah luahan rakyat terbanyak diambil peduli?
"Yang kita tahu adalah sekatan demi sekatan. Hal yang kita perlu imbangkan adalah di antara keselamatan dan kesihatan serta keperluan kehidupan rakyat yang terdesak.
"Selangor daam hal ini ada pakej yang cukup menarik. Kita siarkan supaya rakyat tahu beza antara kerajaan prihatin atau hanya (pandai membuat) pengumuman untuk menyekat (dalam PKP)," katanya.
Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari peruntukan untuk menghadapi Covid di negeri itu telah disediakan dengan secukupnya dalam Belanjawan 2021. Cuma beberapa sudut pelaksanaan perlu ditambah baik sebaik sahaja PKP diisyitihar pada awal Januari lalu.
"Kali ini kita telah lebih bersedia setelah pengalaman PKP pada 2020. Pengalaman itu mengajar kita untuk banyakkan program-program kepada rakyat. Di samping menangani masalah kesihatan kita juga perlu menangani masalah kehidupan, iaitu pendapatan dan ekonomi.
"Sebab itu ketika ini kita sedang memperbanyakkan ujian Covid. Kita ada 50,000 test kepada rakyat negeri Selangor supaya dapat dikesan dan diasingkan mereka yang dijangkiti.
"Apa yang telah berlaku di Selangor dan negeri Pantai Barat kerana kita tidak belajar daripada pengalaman Singapura. Sewaktu Singapura dilanda gelombang kedua di kawasan industri, sepatutnya kita faham sektor industri akan menjadi pencetus seterusnya. Namun dengan kuasa yang terhad di pihak Kerajaan Negeri kita tidak dapat menekan kilang-kilang (melakukan test) kerana di bawah Kementerian Sumber Manusia.
"Sebab itu test yang kita akan buat tertumpu di kawasan perkilangan dan diaturkan oleh Selangor Task Force dan kilang-kilang ini akan dapat disaring," katanya.
Menurut Amirudin lagi, selain melakukan ujian dan pengasingan mangsa Covid, Kerajaan Negeri juga menumpukan kepada program pemberian bakul makanan terutama kepada kumpulan B40 yang terjejas teruk.
"Mengenai sosial rakyat kita tumpu kepada bakul makanan. Kerajaan beri kepada pemandu bas sekolah, teksi dan rumah PPR. Kita sediakan kepada 3 - 4 juta rakyat. Peruntukan sehingga ke bulan Jun dan Julai .
"Kita juga bawa bekalan makanan ke komuniti. Misalnya Perbadanan Kemajuan Pertanian Ngeri jual ayam ke dengan harga murah dan selepas ini bebarapa jenis bahan makanan lain akan kita bawa. Ini mengurangkan beban rakyat ke pasar dan mungkin pula menjadi punca merebaknya penyakit," katanya.
Kerajaan Negeri juga, kata Amirudin melaksanakan moratorium kepada premis-premis kerajaan yang disewa dan juga rumah PPR. Bagi PPR dikecualikan bayaran sewa sebulan dan dua bulan moratorium automatik tanpa perlu memohon.
Begitu juga tuisyen rakyat, katanya, Kerajaan Negeri menyediakan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik daripada kerajaan pusat yang dikritik kerana terdapat banyak kelemahan.