Polisi memberi satu dos vaksin Covid 19 terlebih dahulu kepada semua rakyat telah diungkapkan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sejak bulan Mac lalu.
Namun pelaksanaannya hanya dilakukan pada Julai 2021 akibat terdesak menghadapi peningkatan mendadak kes harian di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Anwar menyifatkan kelewatan melampau tersebut akibat kecuaian dan kesalahan total kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang enggan mendengar nasihat daripada pakar-pakar perubatan sebelum ini.
"Kita lewat 5 - 6 bulan ketimbang negara lain. Malta jauh lebih awal, Turki beberapa bulan dulu. Kita merangkak sehinggalah akhir ini.
"Jadi untuk kita gembar gembur sekarang (dipropagandakan) jumlah (suntik vaksin) tinggi. Kita kumpulkan, kita dah lambat, jumlah mati meningkat, jumlah positif meningkat.
"Tetapi belum ada lagi ketelusan untuk mempastikan jumlah (pemberian vaksin) ini diperluaskan, dan dalam konteks ini saya sebut beberapa cadangan awal.
"Satu dos untuk semua kemudian dos kedua. Baru sekarang nak dipraktikkan. Dahulu kita cadangkan buat (suntik) di semua tempat di klinik swasta. Berulang kali, berbulan kita bicara baru sekarang nak dipertimbangkan. Masalahnya keangkuhan (kerajaan). Mereka rasa tahu semua. Mengenepikan pandangan orang lain.
"Ini menyebabkan angka kematian di Malaysia di antara tertinggi di dunia. Jauh ke bawah barulah UK, Turki dan Malta. Orang terdesak sekarang maka kecuaian dilupakan. Propagandanya begitu hebat kita edarkan vaksin.
"Sebab cuai kamulah positif meningkat, kematian meningkat, tindakan bercanggah, tanpa penyelarasan," katanya dalam siaran media melalui Facebook, malam tadi.
Bagi Ahli Parlimen Port Dickson itu, polisi gagal kerajaan PN menjadi punca hospital berada di luar kapasiti.
Katanya, Hospital Kelang sudah seperti pasar yang sesak, hospital tentera terpaksa menyediakan wad di parkir kereta dan beberapa hospital lain menghadapi masalah kerana lambakan pesakit.
"Semua ini akibat kelemahan, peraturan bercanggah, memilih kasih, orang besar lain, orang bawah lain. Orang bawah denda RM10,000, orang besar RM500. Ini menyebabkan orang hilang keyakinan dan kepercayaan.
"Cara kerajaan sebegini rupa. Boleh ugut orang, tangkap, cakap lawan sikit tak boleh. Bendera hitam masalah, bendera putih masalah.
"Ini kaedah mereka. Bagi saya jangan kita pedulikan. Tanggungawab kita sebagai rakyat mesti bangkit membetulkan keadaan dan menolak kerakusan kuasa serta kelembapan yang berlaku," katanya lagi
コメント