Polis siasat dakwaan cubaan gulingkan kerajaan, libat individu berpengaruh
- Helmi Mohd Foad

- 3 hours ago
- 1 min read

Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima satu laporan polis berhubung dakwaan terdapat cubaan untuk menjatuhkan kerajaan dan melakukan sabotaj terhadap kestabilan negara melibatkan seorang individu berpengaruh tempatan bersama sebuah agensi media antarabangsa.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.
"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 124B Kanun Keseksaan iaitu dengan apa-apa cara, secara langsung atau tidak langsung, melakukan aktiviti yang memudaratkan demokrasi berparlimen, apabila disabitkan boleh dihukum dengan pemenjaraan sehingga dua puluh tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa siasatan masih diteruskan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes berkenaan.
"Masyarakat dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes sementara PDRM melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini," katanya.
Seksyen 124B Kanun Keseksaan merupakan antara peruntukan undang-undang yang berkaitan kesalahan terhadap demokrasi berparlimen.
Ia memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun bagi mana-mana individu yang didapati bersalah melakukan aktiviti yang boleh memudaratkan sistem demokrasi negara, sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Bahagian D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pula bertanggungjawab mengendalikan kes-kes berprofil tinggi serta kesalahan melibatkan keselamatan dan ketenteraman awam di peringkat Persekutuan.
Setakat ini, pihak polis tidak mendedahkan identiti individu yang dikaitkan dalam siasatan tersebut dan siasatan lanjut masih berjalan.




Comments