Pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengesahkan penangkapan aktivis PN, Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard semalam tiada kaitan dengan himpunan 16 September yang bakal dianjurkan oleh pembangkang.
Menurut kenyataan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Chegubard ditahan berdasarkan satu laporan polis yang dibuat seorang pengusaha kereta sewa mengadu melihat video Tiktok individu yang disyaki Chegubard memberi kenyataan mengenai rundingan konflik sempadan Malaysia - Indonesia. Beliau menyatakan Perdana Menteri kononnya telah menyerahkan kawasan Ambalat kepada Indonesia dengan cara yang merugikan negara.
"Selain daripada itu, pihak PDRM juga mempunyai lima kertas siasatan yang memerlukan kehadiran Chegubard untuk membantu siasatan, kesemua kes ini juga beliau enggan memberi kerjasama," kata kenyataan itu.
Semalam, pihak PDRM telah membuat tangkapan ke atas Chegubard di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur berhampiran Pejabat Agung Pas.
Tangkapan dibuat PDRM setelah mendapat waran tangkap pada 13 Sept 2023 dari Mahkamah Majistret Kuala Lumpur kerana keenganan belau memberi kerjasama kepada pihak polis setelah arahan menghadiri siasatan di bawah seksyen 111 Kanun Acara Jenayah dikeluarkan ke atas dirinya pada 9 Julai 2023.
"(Selain itu) pihak PDRM ingin menegaskan bahawa tangkapan terhadap Chegubard tiada kena mengena dengan perhimpunan yang bakal diadakan oleh sekumpulan individu pada 16 Sept 2023," kata kenyataan itu lagi.
Pihak polis telah membuka kertas siasatan ke atas Chegubard di bawah seksyen 500 Kanun Keseksaan dan seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kommentare