top of page

Polis sahkan aktiviti korek tanah dekat lokasi letupan gas Putra Heights

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Apr 4
  • 2 min read

Sidang media oleh Ketua Polis Selangor perkembangan terbaharu siasatan kebakaran paip gas di Putra Heights
Sidang media oleh Ketua Polis Selangor perkembangan terbaharu siasatan kebakaran paip gas di Putra Heights

Terdapat aktiviti pengorekan tanah dijalankan di kawasan berhampiran lokasi insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya dua hari sebelum kejadian pada Selasa lalu, demikian menurut kata Polis Diraja Malaysia (PDRM).


Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar ketika mengesahkan perkara itu berkata aktiviti mengorek tanah itu bagi menggantikan paip kumbahan kira-kira 30 meter dari tempat kejadian namun ia telah dihentikan pada 30 Mac lalu.


Bagaimanapun beliau berkata pihak berkuasa perlu menjalankan siasatan lanjut bagi menentukan sama ada kerja-kerja pengorekan tanah itu merupakan punca kejadian terbabit atau sebaliknya.


"Kerja mengorek tanah dibuat bagi menggantikan paip kumbahan, terletak kira-kira 30 meter dari lokasi letupan. Namun, kita belum mengenal pasti sama ada mereka turut membuat kerja pada hari pertama Aidilfitri atau sebaliknya.


"Berdasarkan keterangan saksi, eskavator yang dilihat pada hari terbabit dikatakan mahu dibawa keluar dari tapak projek, tetapi mereka dikatakan tidak sempat berbuat demikian," katanya pada sidang media di Subang Jaya hari ini.


Kenyataan berhubung siasatan terhadap insiden kebakaran di Putra Heights itu merupakan yang pertama didedahkan oleh pihak polis sejak hari kejadian pada 1 April lalu.


Hadir sama Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin; Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Shukri Ishak serta Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Wan Md Razzali Wan Ismail.


Hussein berkata pihak berkuasa telah mengenal pasti kontraktor dan jentera pengorek bagi kerja ganti paip kumbahan.


"Malah hasil siasatan polis juga mendapati terdapat sebuah eskavator (jengkaut) yang ada di situ turut terbenam.


"Adakah aktiviti korek tanah ini menyebabkan letupan? Ini perlu dikumpulkan bagi mendapatkan keterangan adakah korek tanah itu menyebabkan letupan itu berlaku," katanya.


Justeru itu, kata beliau, pihak polis telah membuka satu kertas siasatan bagi menyiasat sekiranya terdapat unsur jenayah melibatkan elemen khianat dan kecuaian.


Beliau menjelaskan terdapat tiga faktor kemungkinan yang menyebabkan letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights itu membabitkan gas, udara dan percikan api.


Katanya, setakat ini seramai 56 saksi sudah dipanggil untuk menjalani sesi rakaman percakapan bagi membantu siasatan insiden terbabit.


"Terdapat tiga paip gas yang membawa bahan bakar berkenaan dari Terengganu ke selatan dan utara Semenanjung serta Thailand.


"Ketika kejadian, satu daripada tiga paip terbabit dikesan pecah, menyebabkan kebocoran gas yang mengakibatkan letupan terbabit," katanya.


Laporan media menyebut insiden kebakaran saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights pada 8.10 pagi Selasa lalu menyebabkan ratusan kediaman dan kenderaan musnah dan rosak.


Sebanyak 87 rumah musnah sepenuhnya manakala 148 rumah rosak dan perlukan pembaikan.


Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500 meter itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.

Commentaires


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page