top of page

Polis nafi sambutan ke atas MB Sanusi di Johor

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Aug 27, 2023
1 min read


Polis Johor menafikan wujud sebarang sambutan ke atas Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor di Johor baru baru ini sebagaimana tular di media sosial.


Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, video di aplikasi Tiktok yang tular tersebut setelah disiasat adalah berkaitan program KL Munajat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, pada 15 Julai lalu.


Video tersebut katanya, telah disunting dengan memasukkan sorakan 'luaskan kuasamu Johor' dan polis telah membuka kertas siasatan berhubung perkara itu.


"Hal ini dilihat berunsur provokasi dan fitnah yang boleh mendatangkan tanggapan buruk masyarakat.


"Perbuatan menyebarkan serta membuat spekulasi palsu adalah menyalahi undang-undang dan boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan," katanya dalam satu kenyataan.


Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat berkongsi video berita palsu tular di media sosial yang boleh menyebabkan mereka didakwa.


"Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah mempercayai dakwaan diperoleh daripada sumber tidak sah dan berkongsi maklumat itu sehingga boleh menjejaskan keharmonian serta kesejahteraan masyarakat," katanya.


Selain Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, sesiapa yang menularkan berita palsu juga boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page