Polis-MCMC tumpas sindiket SMS scam guna peralatan telekomunikasi haram
- Suara Keadilan

- Sep 6, 2025
- 1 min read

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan satu sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) menerusi Op Pancing yang dijalankan baru-baru ini.
Menurut kenyataan MCMC, seorang individu ditahan ketika mengendalikan peralatan Fake BTS di dalam sebuah kenderaan yang diletakkan berhampiran pusat membeli-belah utama di ibu negara.
"Ujian frekuensi mengesahkan peralatan tersebut bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing, tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan tersebut," katanya.
Susulan tangkapan itu, pihak berkuasa menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam, yang dijadikan lokasi penyimpanan kenderaan dan kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS.
"Siasatan awal mendapati sindiket terbabit telah mengubah suai peralatan komunikasi untuk beroperasi secara mudah alih, menjadikannya lebih sukar dikesan," kata kenyataan itu.
Secara keseluruhan, 45 barangan bernilai RM100,000 disita, termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV). Seorang individu turut dirakam keterangan untuk membantu siasatan lanjut.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membawa hukuman denda maksimum RM1 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali, serta Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 dengan hukuman denda sehingga RM300,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.









Comments