Serangan ganas cederakan OCPD Dang Wangi tidak boleh diterima - AMK
- Suara Keadilan

- Sep 11
- 1 min read

Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab yang mencederakan Ketua Polis Daerah (OCPD) Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika beliau menjalankan tugas dalam operasi pelaksanaan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu membabitkan 37 rumah teres di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Setiausaha AMK, Omar Mokhtar A Manap (gambar) menegaskan bahawa tindakan itu sama sekali tidak boleh diterima dan bercanggah dengan prinsip kedaulatan undang-undang.
"Polis hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang dan keputusan mahkamah. Sebarang tindakan mencederakan penjawat awam yang bertugas adalah tidak boleh diterima sama sekali dan perlu dihentikan segera," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, Malaysia menjamin hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan pendapat secara aman, namun kebebasan itu tidak memberi ruang kepada keganasan, provokasi mahupun tindakan mencederakan mana-mana pihak.
"Keganasan bukanlah jalan penyelesaian. AMK menegaskan bahawa budaya demokrasi yang matang hanya dapat dibina melalui perdebatan rasional, demonstrasi aman, dan penghormatan terhadap penjawat awam yang menggalas tanggungjawab negara," katanya.
Tegas Omar, AMK menyeru semua pihak agar menghormati undang-undang serta menggunakan saluran yang sah untuk menyatakan bantahan atau pendirian masing-masing.
Sehubungan itu, katanya, AMK mendesak pihak berkuasa melakukan siasatan segera dan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit.
"AMK juga mendoakan agar ACP Sulizmie Affendy Sulaiman segera pulih daripada kecederaan yang dialami," katanya lagi.
Pagi tadi Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera ketika rempuhan penduduk sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru.
Sulizmie cedera di kepala dipercayai akibat dibaling menggunakan objek. Susulan itu beberapa peserta himpunan di Kampung Sungai Baru itu telah ditahan untuk membantu siasatan.









Comments