Polis hanya jalankan tugas, serangan tidak selesai masalah - AMK Johor
- Suara Keadilan

- Sep 11
- 1 min read

Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Johor, Faezuddin Puad (gambar) mengecam keras tindakan tidak bertamadun yang mencederakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman ketika menjalankan tugas di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Katanya, anggota polis hanya menjalankan arahan mahkamah dan tidak sewajarnya dijadikan sasaran kemarahan penduduk.
"Semua anggota polis yang bertugas di Kampung Sungai Baru pada hari ini hanya melaksanakan amanah menurut undang-undang dan keputusan mahkamah.
"Adakah dengan menyerang atau mencederakan pegawai polis yang sedang menjalankan tugas dapat menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi?" tegas beliau dalam kenyataan hari ini.
Faezuddin berkata, perbuatan tidak bertanggungjawab dengan menyerang pihak yang tidak bersalah mesti dihentikan segera dan tidak boleh berulang pada masa hadapan.
"Saya harap pihak berkuasa segera siasat perkara ini, segera tangkap pelaku dan beri hukuman yang setimpal," katanya.
Beliau turut menekankan bahawa Malaysia adalah sebuah negara berdaulat yang berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, dan sebarang tindakan kekerasan tidak boleh diterima sama sekali.
Dalam pada itu, Faezuddin turut mendoakan agar ACP Sulizmie Affendy segera pulih daripada kecederaan yang dialami.
Untuk rekod, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman cedera ketika rempuhan penduduk sewaktu operasi pengosongan bangunan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur, pagi tadi.
Beliau cedera di kepala dipercayai akibat dibaling menggunakan objek dalam operasi pelaksanaan writ milikan kosong terhadap 26 hak milik individu membabitkan 37 rumah teres di kampung tersebut.









Comments