top of page

Polis halang Ahli Parlimen: Adakah bangunan Parlimen diwartakan kawasan PKPD?


Siasatan ke atas Ahli Parlimen kerana berhimpun secara haram dan cuba melepasi sekatan polis untuk masuk ke Bangunan Parlimen pada 2 Ogos lalu menimbulkan pelbagai tanda tanya.


Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim, pada pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Keempat belas 13 Julai 2020 lalu telah dibentang usul berkenaan Jalan-Jalan Masuk Ke Parlimen oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang mememerintahkan Ketua Polis Negara menjaga dan membenarkan Ahli Parlimen masuk ke tempat kerja mereka dengan selamat.


Menurut Hassan, persidangan pada 2 Ogos berkenaan dalam penggal ketiga yang masih berkuatkuasa. Oleh itu, tanyanya, atas alasan apakah Ahli Parlimen boleh dihalang daripada masuk ke bangunan Parlimen.


"Saya sebagai seorang Ahli Parlimen ingin jawapan daripada Ketua Polis Negara Malaysia, iaitu adakah beliau tahu akan wujudnya Usul Dewan Rakyat tersebut?


"Jika Ketua Polis Negara tahu tentang wujudnya usul tersebut, mengapakah dibenarkan anggota-anggota PDRM termasuk Unit FRU ditempatkan di jalan-jalan ke Bangunan Parlimen untuk menghalang Ahli-ahli Parlimen masuk ke sana?


"Seterusnya saya ingin jawapan daripada Ketua Polis Negara adakah beliau tahu wujudnya Seksyen 124, 124B dan 124C Kanun Keseksaan yang mengenakan hukuman penjara ke atas kesalahaan menghalang Ahli-ahli Parlimen daripada menjalankan tugas mereka dan juga kesalahan kerana melakukan aktiviti atau cuba melakukan aktiviti yang menjejaskan amalan demokrasi berparlimen di negara ini?" tanyanya.


Tegas Hassan, sekiranya Ketua Polis Negara tahu akan perkara berkenaan, untuk menghalang Ahli Parlimen masuk ke tempat kerja mereka memerlukan satu peruntukan atau akta yang jelas melarang kemasukan. Maka di atas akta apakah pihak polis telah bertindak?


"Jika Ketua Polis Negara cuba menjawab dengan memberi alasan ditakuti wujudnya risiko jangkitan Covid-19 di Bangunan Parlimen, maka saya ingin kepastian adakah kawasan kompleks Parlimen telah diwartakan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Yang Diperketatkan (PKPD)?


"Saya ingin kemukakan penjelasan kepada Ketua Polis Negara bahawa Surat Penangguhan Sidang Khas Parlimen 2 Ogos 2021 yang ditandatangani oleh Setiausaha Dewan Rakyat menyebutkan alasan penangguhan sidang itu atas nasihat Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tentang kemungkinan besar berlakunya risiko jangkitan Covid-19 berpunca daripada varian yang berbahaya.


"Jadi soalan terakhir saya, secara bersama-sama kepada Ketua Polis Negara, Speaker Dewan Rakyat dan Ketua Pengarah Kesihatan mengapakah Dr Noor Hisham dibenarkan masuk ke Parlimen yang dikatakan berbahaya pada pagi yang sama Isnin 2 Ogos 2021 untuk memberi keterangan kepada Mesyuarat JawatanKuasa Pilihan Khas Kira-Kira Kewangan Parlimen?


"Mengapakah Mesyuarat PAC itu dibenarkan berjalan seperti biasa dan mengapakah Ketua Pengarah Kesihatan dibenar masuk ke Parlimen tetapi Ahli-ahli Parlimen disekat, dihalang dan dinafikan hak mereka untuk datang ke Persidangan Khas Dewan Rakyat?" tanya beliau lagi.


Pada pagi Isnin, 2 Ogos lalu sekumpulan 107 Ahli Parlimen pembangkang telah disekat oleh polis dan Unit Simpanan Persekutuan daripada berjalan ke Bangunan Parlimen di bulatan Dato' Onn.


Semua jalan dan lorong menuju ke Parlimen turut disekat dan dibuat hadangan. Bagaimanapun semua kakitangan Parlimen dan Jawatankuasa PAC dibenarkan masuk ke bangunan tersebut.


0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page