top of page

Polis diarah pantau program ‘Glamping With Pride’

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 10
  • 1 min read

Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan menjalankan pemantauan, siasatan dan penguatkuasaan terhadap penganjuran program ‘Glamping With Pride’ yang dirancang sebuah kumpulan.


Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah (gambar) berkata, arahan dikeluarkan memandangkan PDRM merupakan pihak yang mempunyai bidang kuasa penuh untuk mengambil tindakan jika program berkenaan didapati melanggar undang-undang sedia ada.


Dipetik laporan Harian Metro pada Jumaat, beliau memaklumkan, penganjur mendakwa program yang dirancang pada 17 dan 18 Januari ini di Hulu Langat hanya aktiviti berasaskan alam semula jadi dan tidak melibatkan sebarang unsur tidak bermoral.


"Namun begitu, kita perlu memastikan penganjuran program tersebut benar-benar menepati apa yang didakwa," tegasnya.


Media sebelum ini melaporkan program berkenaan dipromosikan sebagai acara tertutup berkonsep percutian, namun istilah yang digunakan telah mencetuskan reaksi pelbagai pihak.


Bantahan awam semakin meningkat susulan kebimbangan program tersebut bercanggah dengan nilai agama, budaya dan norma masyarakat Malaysia.


Dalam perkembangan berkaitan, Pengarah Jabatan Korporat dan Pembangunan Masyarakat Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), Kamarul Izlan Sulaiman, memaklumkan bahawa pihaknya tidak menerima sebarang permohonan bagi menganjurkan program berkenaan.


Beliau turut menegaskan bahawa MPKj secara dasar tidak menyokong dan tidak meluluskan sebarang penganjuran acara tersebut.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page