top of page

Podcast: “Kubur tempat ingat kematian, bukan kejar kemasyhuran” — Dr Zulkifli

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 minute ago
  • 1 min read
ree

Tindakan segelintir pihak yang menjadikan tanah perkuburan Islam sebagai lokasi rakaman podcast bertemakan mistik dan tahyul mendapat teguran keras Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).


Dr Zulkifli Hasan (gambar) menyifatkan aktiviti yang menjadikan kubur sebagai lokasi rakaman untuk menaikkan rating siaran sebagai perbuatan yang bercanggah dengan adab dan tuntutan Islam.


Dalam kenyataannya, Dr Zulkifli menegaskan bahawa tanah perkuburan adalah tempat untuk mengingati kematian dan mengambil iktibar, bukan medan hiburan atau ruang mengejar populariti.


“Maka ziarahilah kubur, kerana ia dapat mengingatkan kamu semua akan Hari Akhirat.”

— Riwayat al-Tirmizi


Beliau berkata, sabda Nabi Muhammad SAW menjadi asas kepada tujuan sebenar menziarahi kubur, dan apa jua tindakan yang mengalihkannya kepada unsur hiburan atau eksploitasi mistik adalah tidak wajar.


"Kubur yang sepatutnya menjadi tempat mengambil iktibar daripada kehidupan dunia yang sementara, tidak seharusnya menjadi medan hiburan, sembang kosong mahupun eksploitasi unsur mistik bagi tujuan populariti," tegasnya.

Salah satu podcast yang dikritik netizen
Salah satu podcast yang dikritik netizen

Tambah beliau, meskipun dunia digital menuntut kreativiti dalam penghasilan kandungan, penggiat media sosial tetap terikat dengan batas-batas adab, sensitiviti agama serta nilai kesopanan.


"Dunia maya sememangnya menuntut kita agar kreatif untuk mencipta kandungan, namun di sana masih ada batas yang perlu dijaga dan tidak boleh dilanggar," jelasnya.


Justeru, Dr Zulkifli menyeru semua pempengaruh, pencipta kandungan dan penggiat seni agar menghentikan serta mengelakkan sebarang aktiviti yang mencemar kesucian tanah perkuburan.


"Saya menyeru agar perkara sebegini tidak lagi berulang pada masa hadapan," katanya lagi.


Kenyataan ini hadir selepas tularnya beberapa rakaman podcast bertemakan paranormal yang dilakukan di kawasan perkuburan sehingga menimbulkan kemarahan ramai pihak dan kebimbangan terhadap adab serta sensitiviti agama.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page