Kempen pada minggu pertama Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap memperlihatkan calon Pakatan Harapan, Dr Joohari Ariffin telah melaluinya dengan baik.
Bagaimanapun kata Pengarah Pilihanraya DUN Sungai Bakap, Rafizi Ramli, kempen Perikatan Nasional sebaliknya kelihatan caca marba dengan keengganan pembangkang menumpukan kepada isu tempatan yang mereka gagal selesaikan sepanjang hampir setahun mentadbir DUN berkenaan usai Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos 2023 lalu.
"Kita akui ada isu tempatan yang menjadi pertaruhan undi kepada calon, iaitu berkaitan bekalan air dan juga isu tak berapa dilaporkan, bersabit keadaan jalan.
"Isu ini besar kerana Sungai Bakap bersambung dengan jaringan lebuh raya. Dari segi kualiti, jem, keadaan di sini sebenarnya penting kepada rakyat.
"Kalau kita tengok sehingga sekarang isu bersabit perkara setempat tidak disentuh oleh PN kerana PN tidak yakin dengan prestasi setempat mereka sejak jadi ADUN pada PRN lepas, dan itu memang menjadi buah mulut pengundi di sini
"Bila prestasi ADUN 'suam kuku' kemudian calon yang diletakkan pula sebahagian daripada pusat khidmat (pegawai khas), bekas ADUN yang prestasinya dipersoalkan, itu menyebabkan kempen PN hilang punca dan memberi serkap jarang.
"Segala isu yang mereka rasa boleh menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat di peringkat nasional (maka isu itu) dimainkan," kata Rafizi dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama KEADILAN, di bangunan pusat khidmat Sungai Bakap, Jalan Besar, Kg Makau Suah, Pulau Pinang petang ini.
Menurut Pengarah Pilihanraya KEADILAN Malaysia itu lagi, berdasarkan culaan dan data, fokus pengundi Sungai Bakap seimbang antara isu nasional dan tempatan.
Hal itu, katanya agak berbeza dengan PRK lepas yang lebih terpengaruh kepada mood nasional. Namun kali ini, jelas Rafizi, imbangan itu mula reda dan penilaian seimbang.
Dalam pada itu, Rafizi turut memuji calon KEADILAN, Cikgu Joohari yang berjaya melengkapkan jadual kempen yang padat sehingga 30 lokasi sehari sepanjang minggu lalu.
Timbalan Presiden KEADILAN itu juga berterima kasih kepada jentera yang bergerak cemerlang mengkoordinasi lawatan calon ke segenap ceruk kawasan.
"Maklumat dan data saya terima menyatakan kempen Perpaduan di Sungai Bakap berjaya mengatasi kelemahan lalu, berada pada tahap baik.
"Pergerakan calon Dr Joohari berjalan lebih lancar berbanding calon lawan. Pada setiap hari calon kita ada 25 ke 30 program. Itu dilaksanakan dengan koordinasi setiap jentera dengan baik," katanya.
Comments