top of page

PN Tiada Mandat Rakyat, Pembangkang Tiada Justifikasi

Updated: May 7, 2023




Oleh: Mohd Fauzi Fadzil


ULASAN: Persoalan mandat rakyat terhadap sesebuah kerajaan mula menjadi wacana hangat selepas berlakunya ‘Langkah Sheraton’ yang menyaksikan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) ditumbangkan dan digantikan dengan sebuah kerajaan baru pada tahun 2020. Lebih buruk beberapa pemimpin pembangkang berpendapat perbuatan menggulingkan kerajaan yang dilakukan semasa ‘Langkah Sheraton’ wajar dilaksanakan pada masa kini bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan yang diterajui oleh PMX.


Persoalan tersebut dari segi undang-undang sememangnya boleh dilakukan kerana keabsahan ‘Langkah Sheraton’ ternyata gagal dicabar dari segi undang-undang, malah Kerajaan Perpaduan juga mempunyai ruang untuk digulingkan jika terdapat parti politik secara en bloc meninggalkan gabungan.


Bermoralkah sokong guling kerajaan


Namun persoalan yang ingin dibahaskan adalah adakah perbuatan menggulingkan Kerajaan Perpaduan merupakan tindakan bermoral untuk disokong?


Struktur Kerajaan Perpaduan jika dibandingkan dengan Kerajaan PH (pada tahun 2018) adalah sedikit berbeza kerana Kerajaan PH dibentuk sepenuhnya melalui mandat rakyat di dalam Pilihan Raya Umum (PRU). Kerajaan Perpaduan pula dibentuk hasil persefahaman dan persetujuan beberapa gabungan politik selepas PRU, walaupun Kerajaan Perpaduan tidak secara terus mendapat mandat rakyat melalui PRU namun Kerajaan Perpaduan mendapat mandat rakyat secara demokrasi perwakilan.

Mohd Fauzi Fadzil

Kuasa rakyat yang telah diserahkan kepada wakil rakyat dan parti politik menjadi asas kepada mandat rakyat yang diperolehi oleh Kerajaan Perpaduan.


Mandat rakyat yang diberikan kepada Kerajaan Perpaduan (melalui sistem demokrasi perwakilan) telah diperkukuhkan dengan hasrat dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


Pembangkang tiada justifikasi


Justeru secara moralnya pihak pembangkang tidak mempunyai justifikasi untuk meruntuhkan Kerajaan Perpaduan yang mendapat mandat rakyat dan perkenan institusi istana. Perbuatan menggulingkan Kerajaan PH pada tahun 2020 juga dianggap tidak bermoral kerana ia telah membelakangkan mandat rakyat yang diperolehi pada tahun 2018, atas asas berkenaan maka kepimpinan PH mencuba beberapa kali untuk mendapatkan kembali mandat tersebut pada tahun 2020 dan 2021.


Perbuatan itu dianggap wajar kerana mandat rakyat pada PRU 2018 adalah untuk Kerajaan PH, pertukaran kepimpinan Perdana Menteri pada waktu tersebut perlulah berlaku dalam kalangan kepimpinan PH.


Asas perbahasan tersebut boleh dirujuk kepada pertukaran Perdana Menteri di The United Kingdom of Great Britain, pertukaran Perdana Menteri David Cameron kepada Theresa May dan seterusnya Boris Johnson dilakukan dalam kalangan kepimpinan Parti Konservatif, kepimpinan parti politik pembangkang di The United Kingdom of Great Britain tidak masuk campur dalam pertukaran Perdana Menteri kerana mereka faham mandat rakyat tidak diberikan kepada mereka.


PN tidak pernah perolehi mandat


Keadaan ini sangat berbeza dengan cubaan terkini Perikatan Nasional (PN) yang cuba mendapatkan sokongan Ahli Parlimen bagi membentuk sebuah kerajaan baharu. Tiada mandat yang jelas dari rakyat yang diperolehi oleh PN malah institusi istana juga tidak memberi sebarang isyarat atau perkenan ke atas perbuatan meruntuhkan Kerajaan Perpaduan. Perbuatan kepimpinan PN tidak boleh disamakan dengan tindakan kepimpinan PH yang cuba mendapatkan kembali mandat sepanjang tahun 2020 dan 2021.


Seharusnya kepimpinan PN berlapang dada dan bersabar menunggu peluang seterusnya bagi mendapatkan mandat sah dalam PRU akan datang. Sekiranya usaha kepimpinan PN untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan berjaya, ia hanya mengulangi episod pengkhianatan mandat rakyat yang berlaku semasa ‘Langkah Sheraton’.


Perbuatan tersebut hanya akan melemahkan kepercayaan rakyat terhadap sistem berkerajaan yang diamalkan oleh Malaysia, tanpa kepercayaan rakyat maka pentadbiran negara akan menjadi lemah secara berterusan.


_______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Timbalan Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan Selangor

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page