PN terus bergolak, perebutan kuasa dedah ketidakstabilan pembangkang
- Suara Keadilan

- Sep 19, 2025
- 2 min read

Perikatan Nasional (PN) sekali lagi berdepan pergolakan dalaman susulan perebutan jawatan calon Perdana Menteri sama ada dari komponen Bersatu atau Pas.
Bagi Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan, Andre Lai Chen Heng (gambar), perebutan itu jelas menunjukkan pembangkang tidak konsisten serta gagal menunjukkan visi yang jelas untuk mentadbir negara.
"Gabungan ini tidak mempunyai sebarang konsensus, visi yang jelas, atau kemampuan untuk mentadbir negara. PN sebenarnya adalah pakatan politik oportunis yang dibentuk semata-mata untuk meraih dan mengekalkan kuasa, bukannya untuk berkhidmat kepada rakyat," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, sejak tahun lalu Pas dan Bersatu berulang kali bertelagah mengenai jawatan utama dalam PN, manakala parti komponen lain seperti Gerakan sering menjadi mangsa pergolakan.
"Muktamar Tahunan Pas dan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu baru-baru ini semakin membuktikan hakikat ini. Kedua-dua parti sibuk berebut status sebagai "ketua gabungan" PN, manakala tumpuan untuk mengemukakan dasar-dasar membina negara diabaikan sepenuhnya. Setiap kali bergolak, Gerakan pula pasti terlibat sama sebagai mangsa," tegasnya.
Menurutnya, pemimpin PN bukan sahaja gagal menawarkan dasar konkrit, malah lebih cenderung memanipulasi emosi rakyat dengan memainkan isu kaum dan agama demi kepentingan politik.
"Apa yang paling mahir dilakukan oleh pemimpin PN bukanlah mencadangkan dasar yang pro-rakyat, tetapi memanipulasi emosi rakyat.
"Mereka menggunakan isu perkauman dan agama sebagai senjata politik, menyembunyikan cita-cita peribadi di sebalik topeng kesucian. Pendekatan ini hanya akan memecahbelahkan perpaduan masyarakat dan merosakkan masa depan negara," katanya.
Andre Lai yang juga Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju turut menyifatkan tindakan terbaharu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang cuba membentuk “gabungan longgar” bersama parti pembangkang lain sebagai langkah terdesak untuk mengekalkan kedudukan dan mengelak dipinggirkan oleh Pas.
"Ini bukti nyata bahawa gabungan PN tidak mempunyai sebarang kepercayaan asas dan konflik dalaman mereka sudah tidak dapat disembunyikan lagi," katanya.
Beliau menegaskan, imej PN sudah lama tercalar sejak Langkah Sheraton yang sinonim dengan pengkhianatan, malah kini semakin jelas gabungan itu hanyalah kumpulan broker kuasa yang tidak layak menuntut mandat rakyat.
Sebaliknya, kata beliau, rakyat harus menilai perbezaan dengan Kerajaan Perpaduan yang menawarkan kestabilan, visi jelas, serta fokus membina melalui agenda Malaysia MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"PN bukanlah harapan, tetapi sebuah malapetaka. Mereka tidak layak untuk menuntut kepercayaan rakyat, apatah lagi bercakap tentang memimpin negara," tegasnya lagi.









Comments