
Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong mendedahkan beliau menolak jawatan menteri yang ditawarkan oleh Perikatan Nasional (PN) yang cuba mendapatkan lebih banyak sokongan daripada Ahli Parlimen dalam Pakatan Harapan (PH).
Beliau yang juga Ketua Cabang KEADILAN Tebrau itu tetap setia bersama PH dan enggan sama sekali mengkhianati mandat rakyat.
"Semasa kejatuhan pemerintahan PH dua bulan yang lalu, saya menolak tawaran jawatan menteri penuh dari pihak lain. Saya tetap komited untuk rakyat, keadilan sosial dan agenda reformasi untuk semua rakyat Malaysia.
"Saya berharap dapat terus mewakili rakyat Tebrau di Parlimen dan bercakap bagi pihak mereka, bebas dari politik kotor," katanya menerusi akaun Facebook rasmi miliknya.
Namun, Steven mengakui selepas menolak tawaran tersebut, ada pihak yang cuba memburukkan namanya dan menuduhnya mahu keluar parti sebaik sahaja menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO), Gerakan EcoSocial.
"Selepas kejatuhan kerajaan PH, saya ada berkata bahawa sudah hampir waktunya saya kembali ke profesion audit dan percukaian kerana jumlah kes yang dikendalikan oleh pusat khidmat saya telah berkurang hampir 80%.
"Pembantu saya juga mempunyai banyak masa lapang tetapi mereka ingin mengekalkan sekurang-kurangnya 50% tahap perkhidmatan yang biasa kami berikan dalam 22 bulan terakhir sebelum ini. Oleh itu, sebuah NGO bernama EcoSocial Movement ditubuhkan pada bulan Mac 2020 untuk membantu kami mengumpulkan dana serta merekrut sukarelawan untuk bekerja.
"Oleh itu, pihak yang menuduh saya tubuhkan NGO sebagai alat untuk keluar PKR adalah tidak berasas dan tidak benar," jelasnya.
Steven juga menganggap ia merupakan serangan daripada pihak tertentu untuk melaga-lagakan PH.
"Saya kecewa ada pihak menuduh kami sengaja menubuhkan NGO sebagai jalan keluar dari PKR, menuduh kami tidak ada tempat dalam parti, hanya kerana kami ada hubungan dengan mereka yang meninggalkan parti untuk membentuk kerajaan PN.
"Politik faksional telah bermula di kawasan Tebrau sejak akhir PRU ke-14. Orang-orang dari dua parti lawan juga mula mencari jalan untuk memburukkan nama saya.
"Mereka juga menyebarkan berita bahawa saya keluar parti dan menyertai Gerakan. Saya harap kerja-kerja menjatuhkan maruah lawan dihentikan dan marilah kita bersaing secara profesional dan beretika," katanya lagi.