top of page

PN tanpa arah, masih tiada pengerusi - Lokman

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 7 hours ago
  • 2 min read

Pengarah Komunikasi UMNO Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam (gambar) mendakwa Perikatan Nasional (PN) kini berada dalam keadaan tidak menentu apabila masih gagal mencapai kata sepakat berhubung pelantikan pengerusi gabungan itu.


Menurut beliau, pertikaian dalaman yang berlarutan hingga sebulan memperlihatkan PN tidak mempunyai hala tuju jelas sebagai sebuah gabungan politik.


"Perikatan Nasional terus hanyut tanpa kompas, tidak dapat bersetuju dengan keperluan paling asas mana-mana gabungan politik iaitu kepimpinan.


"PN sibuk dengan pertengkaran dalaman mengenai siapa yang patut duduk di atas — atau sama ada jawatan itu harus wujud (dikekalkan)," katanya dalam muat naik di media sosial.


Beliau juga merujuk kebocoran surat daripada Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin baru baru ini berkenaan cadangan memansuhkan jawatan Pengerusi PN yang menurutnya mencerminkan keretakan serius dalam gabungan tersebut.


"Apabila surat-menyurat persendirian menjadi peluru awam, ia adalah tanda jelas tentang gabungan yang sedang berperang dengan dirinya sendiri," sinisnya.


Beliau mendakwa cadangan untuk menghapuskan jawatan pengerusi dan menggantikannya dengan Majlis Presiden serta Majlis Eksekutif bukanlah langkah reformasi sebenar, sebaliknya cubaan menutup perbezaan yang tidak dapat diselesaikan antara parti komponen.


"Cadangan itu dijual sebagai penstrukturan semula, tetapi pada hakikatnya ia tidak lebih daripada percubaan menampal perbezaan yang tidak dapat didamaikan antara Pas dan Bersatu," katanya.


Tambah beliau nama pimpinan seperti Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Hamzah Zainudin yang bakal dicalonan sebagai pengerusi namun kekal terapung apung selepas sebulan hanya menimbulkan persoalan lebih besar mengenai keupayaan PN mentadbir negara.


"Jika PN tidak dapat memutuskan siapa pengerusinya, bagaimana ia boleh dipercayai untuk memutuskan dasar negara, hala tuju ekonomi atau masa depan rakyat? Kepimpinan melalui jawatankuasa bukanlah visi, ia adalah pengakuan kegagalan," tegasnya.


Lokman berkata, kekosongan kepimpinan yang berpanjangan mendedahkan kelemahan dalaman PN yang didakwa dipengaruhi ego, ketidakpercayaan dan cita-cita yang bersaing.


"Ketidakpastian itu bukan sahaja melemahkan PN secara dalaman, ia menghantar mesej yang lantang dan jelas kepada orang ramai bahawa PN tidak bersedia, dan tidak mampu mentadbir Malaysia sebagai blok politik yang koheren.


"Gabungan yang tidak boleh memimpin sendiri tidak tidak akan berupaya untuk memimpin negara," katanya lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page