
Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menyerahkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut disokong Menteri Besar Kedah, Mukhriz Mahathir baru-baru ini membuatkan Perikatan Nasional panas punggung.
Manakan tidak, hasrat PN untuk melihat Mahathir dan Mukhriz menyokong Muhyiddin nampaknya tidak kesampaian.
Malah, Mahathir turut membuat kenyataan terbuka bahawa beliau tidak mengiktiraf kerajaan PN.
Mukhriz juga lantang menyeru partinya Bersatu supaya kembali kepada Pakatan Harapan.
Tindakan kedua-dua pemimpin tertinggi Bersatu itu menyebabkan pemimpin Umno dan Pas membuat pertemuan tertutup di Alor Setar, berkemungkinan mahu menjatuhkan kerajaan PH Kedah dengan secepat mungkin.
Antara yang hadir adalah Setiausaha Agung Pas, Takiyuddin Hassan, Pesuruhjaya Pas Kedah, Ahmad Yahaya, ketua pembangkang Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, Naib Presiden Pas Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, dan Pengerusi Umno Kedah, Jamil Khir Baharom.
Bersatu juga dijangka mengadakan mesyuarat pimpinan tertinggi hari ini, namun langsung tidak menjemput Mahathir dan Mukhriz.
Lapor media, mesyuarat itu akan menentukan kedudukan kedua-dua pemimpin parti itu.
Jika Mukhriz dipecat, PN akan mengambil alih kerajaan Kedah serta-merta dan dijangka Sanusi Nor sebagai menteri besar Kedah yang baharu.
Sungguh jelas lagi nyata bahawa PN sudah tidak sabar-sabar untuk memegang lebih banyak kuasa di Kedah, walaupun di tengah-tengah ancaman wabak Covid-19.
Siapa kata PN tidak mahu bermain politik?