
Kerajaan Perikatan Nasional (PN) digesa supaya mendedahkan perjanjian yang dipersetujui dengan Goldman Sachs bagi menyelesaikan kes penyelewengan wang 1MDB.
Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata pampasan bernilai RM16.6 bilion tidak seharusnya menjadi penyelesaian terakhir dalam kes itu.
"Skandal 1MDB menyebabkan kita kerugian sehingga RM50 bilion, bergantung kepada berapa banyak yang boleh kita peroleh semula. Perjanjian dengan Goldman Sachs dilaporkan dalam RM16.6 bilion bukan penyelesaian akhir.
"Apa yang membimbangkan terma-terma mengenai jaminan yang diberikan oleh Goldman tidak begitu jelas, dengan jumlah bernilai AS 1.4 billion dolar.
Wong menganggap, tanpa pendedahan penuh daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), rakyat tidak boleh menilai berapa jumlah sebenar pampasan yang dijanjikan.
"Kerajaan PN menangani COVID-19 dengan menggunakan peruntukan sebesar RM295 billion, adakah kerajaan PN akan melakukan perkara sama dalam perjanjian ini?
"Menteri Kewangan juga perlu mendedahkan sepenuhnya terhadap kesan perundangan kepada Goldman Sachs dari segi liabiliti jenayah. Kerajaan tidak seharusnya membenarkan sesiapa yang terlibat secara langsung dengan aktiviti jenayah terlepas dengan hanya pampasan.
"Saya juga menggesa kerajaan PN mendedahkan usaha-usaha yang dilakukan untuk mendapatkan semula wang dari Jho Low dan rakan-rakannya.
"Menteri Kewangan bertanggungjawab ke atas rakyat Malaysia untuk mendedahkan keseluruhan perjanjian dengan Goldman Sachs," katanya.
Wong turut mengemukakan soalan-soalan kepada Menteri Kewangan:
1. Apa jaminan Goldman?
2. Apa usaha Goldman dalam mendapatkan AS 1.4 bilion?
3. Adakah AS 1.4 billion sebahagian daripada wang yang ditemui semula oleh kerajaan AS?
4. Berapa lamakah tempoh yang diberikan oleh Goldman Sachs untuk mendapatkan semula wang AS 1.4 bilion?