PN hilang arah, SG4 menuju jalan mati — Faiz Fadzil


Perikatan Nasional (PN) didakwa berada di ambang perpecahan susulan pertelingkahan hebat antara Pas dan Bersatu, khususnya berkaitan isu pelantikan Menteri Besar Perlis yang akhirnya membawa kepada peletakan jawatan Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin pada 1 Januari lalu.
Setiausaha Agung Parti AMANAH Negara, Faiz Fadzil berkata, perkembangan tersebut mencerminkan ketidakstabilan serius dalam PN sekali gus menjejaskan masa depan pakatan negeri SG4 yang melibatkan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
"Ini bermakna tiada lagi masa depan untuk pakatan SG4, ibarat PN hilang pemandu, SG4 sedang menuju jalan mati," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, ketidaktentuan kepimpinan PN memberi kesan langsung kepada usaha SG4 yang dilancarkan pada 2023. Katanya, sudahlah tidak nampak kejayaan ekonomi di negeri SG4, kini pakatan itu gagal pula dalam memastikan kestabilan politik.
"Sejak diumumkan sehingga hari ini, tidak ada satu pun pelaburan yang dibawa masuk oleh SG4 (ke empat negeri)," ujarnya.
Sehubungan itu, Faiz mencabar Pas agar membentangkan laporan pencapaian atau report card SG4 secara terbuka untuk dinilai rakyat, bagi mengukur kemampuan sebenar mereka dalam pentadbiran dan pengurusan ekonomi.
Beliau turut menyatakan bahawa walaupun negeri-negeri SG4 ditadbir pembangkang, agensi Persekutuan di bawah Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap membawa masuk pelaburan tanpa diskriminasi.

"Di Kedah, misalnya, majoriti pelaburan berlaku di Kulim Hi-Tech Park, yang diterajui oleh agensi Kerajaan Persekutuan seperti MIDA dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI)," sinisnya.
Faiz juga merujuk pengakuan Penasihat SG4 sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang mengakui perkembangan SG4 Group Sdn Bhd adalah perlahan, sekali gus mengukuhkan persepsi kegagalan pakatan tersebut.
Mengulas perbandingan dengan Kerajaan MADANI, beliau berkata kerajaan hari ini lebih menumpukan agenda pembangunan rakyat berbanding polemik politik yang menjadi penyebab kegagalan SG4.
"Tatkala Pas-Bersatu lebih mengutamakan permainan politik berbanding sosio-ekonomi rakyat, Kerajaan Madani terus menggerakkan agenda pembangunan rakyat. Ini jelas dibuktikan melalui Perutusan Tahun Baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar baru-baru ini," katanya.
Menurut Faiz, langkah memperkukuh kuasa beli rakyat melalui suntikan tunai RM15 bilion menerusi STR dan SARA, kenaikan gaji penjawat awam bernilai RM8 bilion, serta peruntukan RM200 juta kepada sekolah agama rakyat dan maahad tahfiz menunjukkan keutamaan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Beliau turut menegaskan keprihatinan kerajaan terhadap sektor perniagaan dan pertanian melalui pemotongan cukai perkhidmatan sewaan untuk PKS serta pengecualian cukai jualan ke atas makanan ternakan, baja dan racun serangga.
Faiz berkata, komitmen Perdana Menteri terhadap reformasi institusi turut menjadi elemen penting, termasuk cadangan memisahkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal serta penubuhan institusi Ombudsman.
"Justeru, rakyat perlu menilai secara adil kemampuan Kerajaan MADANI, sebuah kerajaan yang bekerja dan telah melaksanakan 773 inisiatif sepanjang tiga tahun pentadbiran Datuk Seri Anwar, berasaskan kestabilan politik Kerajaan Perpaduan," katanya lagi.




Comments