'PN hanya pandai berebut jawatan PM, tiada idea selesai masalah rakyat'
- Redzuan Shamsudin

- Sep 14
- 2 min read

Perebutan menamakan calon perdana menteri dalam kalangan pimpinan Perikatan Nasional (PN) membuktikan gabungan itu sejak membentuk kerajaan secara 'tebuk atap' pada 2020 hanya mengutamakan kuasa, bukannya menjaga kebajikan hidup rakyat.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, PN hanya berminat untuk menunjukkan siapa paling layak jadi perdana menteri tetapi tidak mengutarakan sebarang penyelesaian kepada masalah negara.
Mahfuz merujuk perkembangan terkini politik apabila parti Bersatu mencalonkan Presidennya Muhyiddin Yassin, sementara Muktamar Pemuda Pas melalui kenyataan Ketua Pemudanya mencalonkan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. Nama Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor serta Safwan Afnan juga disebut sebagai calon perdana menteri.
"Walaupun Datuk Tuan Ibrahim menolak cadangan tersebut tetapi situasi muktamar dan respon pimpinan Pas terhadap keputusan Perhimpunan Tahunan Parti Bersatu sepakat mencalonkan Tan Sri Muhyidin sebagai PM Malaysia ke11 jelas memperlihatkan PN sedang bergelumang dengan perebutan kuasa dan kedudukan. Bukannya menyusun agenda penyelesaian masalah rakyat," kata Mahfuz dalam kenyataan.
Menurut beliau, pertikaian mengenai siapa yang berhak menjadi perdana menteri hanya mengesahkan bahawa kepentingan rakyat bukanlah keutamaan PN.
Malah, katanya, secara tradisi Pas sentiasa mahu menentukan calon PM sebagaimana ketika parti itu berada dalam Pakatan Rakyat dahulu.
"Respon Pas jelas memperlihatkan parti itu mahu jawatan PM diberikan kepada Pas. Jika dalam soal kepimpinan tertinggi pun PN gagal mencapai persefahaman, bagaimana mereka mahu diyakini mampu menawarkan kestabilan politik dan ekonomi kepada rakyat?
"Perpecahan dalaman seperti ini hanya menambahkan kegelisahan dan menjejaskan keyakinan rakyat serta pelabur terhadap masa depan negara," katanya.
Mahfuz menegaskan, rakyat kini berdepan isu-isu mendesak yang memerlukan perhatian segera. Sekiranya pembangkang hanya menawarkan calon PM dan bukan penyelesaian masalah maka negara tidak akan ke mana, katanya.
"Rakyat kini memerlukan pemimpin yang fokus kepada isu-isu mendesak seperti kos sara hidup, peluang pekerjaan, pendidikan, serta pembinaan masa depan yang lebih terjamin untuk generasi akan datang.
"Politik yang berasaskan perebutan jawatan tidak akan membawa Malaysia ke hadapan," ujar Mahfuz.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat menilai kemelut dalaman PN dengan bijaksana dan terus bersama Kerajaan MADANI pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menurutnya telah membuktikan kesungguhan membela rakyat dan membangunkan negara.









Comments