PN gagal bentang belanjawan alternatif, kelayakan memerintah dipertikai


Pembangkang, khususnya Perikatan Nasional (PN) perlu membuktikan kemampuan mentadbir negara dengan mengemukakan belanjawan alternatif yang memperincikan perancangan ekonomi, sumber pembiayaan dan penyelesaian terhadap cabaran fiskal, bukan sekadar mengkritik dasar kerajaan tanpa menawarkan pilihan lebih baik.
Timbalan Ketua Biro Pendidikan dan Mahasiswa Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Pusat, Aiman Wan Alias berkata, alasan bahawa belanjawan alternatif tidak perlu dibentangkan kerana ia tidak akan dilaksanakan kerajaan memperlihatkan persoalan asas mengenai kefahaman terhadap peranan semak dan imbang di Parlimen.
"Tugas pembangkang bukan sekadar mengkritik keputusan kerajaan, tetapi mengemukakan pilihan dasar yang lebih baik, munasabah dan mampu dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
"Jika pembangkang berpendapat dasar kerajaan membebankan rakyat, meningkatkan risiko fiskal atau gagal merangsang pertumbuhan ekonomi, maka persoalan yang wajar dijawab ialah apakah pendekatan alternatif mereka?
"Bagaimanakah defisit fiskal dapat dikurangkan, hasil negara diperkukuh dan pembangunan diteruskan tanpa menjejaskan kebajikan rakyat?
"Kritikan tanpa jawapan terhadap persoalan-persoalan ini hanya membangkitkan masalah tanpa membuktikan keupayaan menyelesaikannya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Aiman menyifatkan, belanjawan alternatif bukan sekadar dokumen untuk memenuhi tuntutan politik atau bersaing dengan kerajaan.
Sebaliknya kata Aiman, ia merupakan kerangka dasar yang menterjemahkan prinsip dan visi ekonomi kepada perancangan perbelanjaan, unjuran hasil, keutamaan pembangunan serta strategi pengurusan hutang negara.
Sukar menilai kemampuan PN
Ujarnya lagi, tanpa perincian sedemikian, rakyat sukar menilai sama ada sesuatu cadangan benar-benar berdaya maju atau sekadar retorik politik.
"Alasan bahawa belanjawan alternatif tidak akan dilaksanakan kerana pembangkang tidak memegang kuasa kerajaan juga tidak seharusnya menjadi penghalang.
"Jika logik itu diterima, pembangkang hanya perlu menunggu sehingga menang pilihanraya untuk membuktikan kemampuan mereka.
"Sedangkan rakyat berhak mengetahui lebih awal bagaimana sesebuah gabungan politik bercadang mengurus ekonomi, membiayai janji pembangunan dan menangani cabaran fiskal negara," katanya.
Tambah beliau, pembangkang sejak bertahun lalu telah membawa cogankata poitik 'matang dan sejahtera' maka menjadi tanggungjawab mereka untuk menunjukkan kematangan menggariskan belanjawan yang mampu memberi alternatif kepada rakyat.
"Sebagai Timbalan Ketua Biro Pendidikan dan Mahasiswa AMK Malaysia, saya berpandangan bahawa budaya politik yang matang memerlukan persaingan idea dan dasar yang berasaskan bukti, bukan sekadar persaingan kritikan.
"Semak dan imbang yang berkesan bukan hanya bertanya apa yang salah dengan belanjawan kerajaan, tetapi turut menjawab apakah yang patut dilakukan sebagai ganti, berapa kosnya dan dari mana sumber pembiayaannya," katanya lagi.




Comments