top of page

PN berpecah sesama sendiri, tidak boleh diharap tadbir negara, urus ekonomi

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 8
  • 3 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Insiden kekecohan yang berlaku ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2025 malam kelmarin terus mencetuskan persoalan terhadap kestabilan dan hala tuju parti pembangkang itu.


Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN, Bryan Ng Yih Miin (gambar) berkata, sejak dulu lagi Perikatan Nasional (PN) hanya disatukan dengan percaturan kuasa dan bukannya visi jelas atau dasar yang berpaksikan rakyat.


Oleh itu, katanya, tidak mustahil percaturan kuasa terutama mencalonkan diri sebagai 'perdana menteri menanti' sesama pemimpin PN akan mendominasi agenda menjelang pilihanraya akan datang.


''Hari ini rakyat menyaksikan sebuah gabungan yang bercakaran secara terbuka, berebut jawatan Perdana Menteri (PM) dan gagal mencapai kesepakatan dalam perkara asas.


''Jika dalam pembangkang pun mereka sudah kucar-kacir, bagaimana mungkin rakyat mahu mempercayai mereka untuk memimpin sebuah negara.


''Lebih penting, ini bukan kali pertama perpecahan dalaman PN berlaku. Sejarah mereka dipenuhi pertelagahan mengenai siapa yang layak menjadi calon PM,'' katanya dalam satu kenyataan.


Dalam kenyataan sama, Bryan turut mengimbas kembali isu terdahulu melibatkan 'pertindihan' nama calon PM antara Bersatu dan Pas.


Katanya, pernah berlaku situasi di mana Bersatu menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PM, namun Pas enggan tunduk, sebaliknya terus menonjolkan pemimpin mereka sendiri sebagai pesaing.


''Episod ini membuktikan bahawa sejak awal PN tidak pernah ada kesepakatan tentang hala tuju kepimpinan negara. Semasa pilihan raya negeri, pertindihan calon antara Pas dan Bersatu juga berlaku berulang kali.


''Di beberapa kerusi, kedua-dua parti meletakkan calon masing-masing, menyebabkan kekeliruan di kalangan penyokong dan menunjukkan bahawa PN lebih sibuk berebut pengaruh daripada menyusun strategi untuk rakyat.


''Pergaduhan ini menjadi bukti tambahan bahawa PN tidak mempunyai koordinasi dalaman dan hanya memikirkan kepentingan parti masing-masing,'' bidas beliau.


Bryan Ng berkata, PN bukan sahaja gagal ketika diberi kuasa diperingkat Persekutuan pada 2020 - 2022, tetapi gagal membuktikan kredibiliti sebagai pembangkang.


Katanya, kenyataan pemimpin Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menegur Bersatu dalam isu mencalonkan Muhyiddin sebagai PM menanti tanpa persetujuan gabungan adalah bukti pembangkang tidak pernah bersatu hati.


''Kenyataan Sanusi yang menegur Bersatu kerana bertindak sendirian mengumumkan keputusan penting tanpa persetujuan gabungan adalah bukti jelas bahawa Perikatan Nasional tidak pernah bersatu,'' katanya.


Selain itu, menurut beliau, PN juga tidak mampu menguruskan ekonomi negara dengan baik ketika memerintah negara. Inflasi misalnya meningkat daripada negatif 1.1 peratus pada 2020 kepada 2.5 peratus pada 2021 dan melonjak lagi ke 3.4 peratus menjelang akhir 2022.


"Harga makanan dan barang asas meningkat mendadak sehingga rakyat terhimpit. Krisis bekalan telur pula menjadi simbol paling jelas apabila defisit bekalan mencecah 118 juta biji pada Oktober 2022 dan meningkat kepada 157 juta biji pada November, sehingga kerajaan ketika itu terpaksa mengimport telur buat kali pertama dalam sejarah untuk menampung keperluan rakyat," katanya.


Sewaktu pandemik Covid-19, tambah Bryan Ng, PN sekali lagi membuktikan kepentingan politik lebih utama daripada nyawa rakyat. kerana mereka tetap memaksa pelbagai Pilihan Raya Negeri diadakan termasuk di Melaka pada November 2021, Sarawak pada Disember 2021 dan Johor pada Mac 2022 meskipun situasi kesihatan awam masih belum terkawal.


Akibatnya, kata beliau, kes Covid melonjak, hospital menjadi sesak, dan angka kematian meningkat.


"Sektor pendidikan juga menjadi mangsa. Penutupan sekolah yang berpanjangan tanpa pelan digital yang berkesan menyebabkan puluhan ribu pelajar tercicir, keputusan SPM merosot, malah ada pelajar yang langsung tidak menduduki peperiksaan kerana ketiadaan akses pembelajaran.


"Generasi muda yang sepatutnya menjadi harapan negara dipinggirkan akibat kelemahan dasar dan kegagalan kepimpinan PN," ujarnya.


Selain itu, ekonomi negara gagal ditunjuk hala tuju yang jelas. Sekatan eksport ayam sebanyak 3.6 juta ekor sebulan pada 2022 tidak berjaya menurunkan harga di pasaran. Pelaburan tidak berkembang, peluang pekerjaan terbantut dan rakyat terus bergelut dengan kos sara hidup yang menekan.


"Semua ini membuktikan PN hanya mampu bertindak secara reaktif tanpa strategi jangka panjang untuk menyelesaikan masalah sebenar


"Malaysia memerlukan kepimpinan yang stabil, berwibawa dan berani meletakkan kepentingan rakyat di hadapan. PN telah diuji dan terbukti gagal dalam semua aspek.


"Masa depan negara tidak boleh sekali lagi digadai kepada sebuah gabungan yang rapuh, berpecah dan hanya mementingkan kuasa," akhiri Bryan Ng.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page