PN Berebut Kepimpinan, Pas Tunjuk Pengaruh Kuasai Gabungan
- Suara Keadilan

- Sep 22
- 2 min read

Oleh: Fakharuddin Moslim
ULASAN: Muktamar Pas ke-71 tahun 2025 bukan sekadar perhimpunan tahunan biasa. Ia menjadi pentas untuk menelanjangkan realiti dalaman Perikatan Nasional (PN), iaitu sebuah gabungan politik yang sedang cuba memposisikan diri sebagai alternatif kerajaan.
Namun, di sebalik retorik “kesatuan ummah” dan “perpaduan Melayu-Islam”, muktamar ini mendedahkan bibit-bibit ketidaksefahaman yang semakin sukar disorokkan.
Konflik Dalaman PN
Konflik paling jelas ialah soal siapa calon Perdana Menteri PN. Bersatu mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon PM gabungan itu. Namun, Pas melalui kenyataan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan menyanggah. Pas menegaskan bahawa keputusan sebesar itu hanya boleh dibuat oleh Majlis Tertinggi PN secara konsensus, bukan ditentukan oleh satu parti.
Pemuda Pas pula cadangkan Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai calon PM dari PN. Isu calon PM mencerminkan perebutan kepimpinan sebenar antara Bersatu dan Pas. Ia menunjukkan PN gagal mencapai formula kepimpinan yang stabil, berbanding Pakatan Harapan (PH) yang berjaya menyepakati Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon PM lebih awal sebelum PRU15 lalu.
Usul Pemuda Pas sedia pimpin PN
Pemuda Pas meluluskan usul bahawa parti itu “perlu sedia memimpin PN”. Usul ini bukan simbolik kosong – ia mencerminkan suara dalaman Pas untuk tidak sekadar menjadi “penyokong kuat” tetapi menjadi peneraju gabungan.

Ini menimbulkan dilema kepada Bersatu - jika mereka terus mempertahankan Muhyiddin sebagai calon PM, mereka berisiko menolak aspirasi akar umbi Pas. Namun jika Bersatu berkompromi, imej parti itu sebagai peneraju PN akan luntur.
Isu struktur dan kepercayaan
Pas juga terbabit dalam isu struktur pentadbiran PN – daripada cara membuat keputusan hingga kepada penyertaan parti baharu.
Masalah kepercayaan jelas wujud, Bersatu bimbang dominasi Pas, manakala Pas pula merasakan ia mempunyai legitimasi electoral lebih kukuh berdasarkan penguasaan negeri dan bilangan kerusi.
Pas merasakan dirinya membawa nilai tambah yang lebih besar berbanding Bersatu. Inilah punca konflik, Bersatu mahu kekalkan “ownership” PN sebagai parti pengasas, sementara Pas mahu naik taraf kedudukannya.
Gabungan sebegini sukar bertahan kerana kedua-duanya bersaing merebut peranan peneraju, bukan sekadar bekerjasama melawan pihak lawan.
Siapa paling berkuasa?
Pas mempunyai kekuatan kerusi negeri di Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis. Bersatu pula bergantung kepada legasi Muhyiddin dan jentera kerajaan ketika PRU15. Maka dari segi angka, Pas lebih dominan.
Namun, Pas menghadapi batasan besar iaitu sukar menembusi kawasan bandar, majmuk, dan bukan Melayu. Tanpa sokongan segmen ini Pas tidak boleh menawan Putrajaya secara bersendirian. Bersatu cuba mengisi jurang ini, tetapi pengaruhnya juga sudah tidak membesar. Contohnya, keputusan PRK DUN Mahkota, PN menerusi Bersatu kalah besar kepada calon BN yang disokong PH.
Wujud dilema
Konflik kepimpinan dalam PN boleh membawa kepada dilema jika PN terpaksa kekal dengan Muhyiddin, lalu Pas sudah tentu kecewa. Atau jika Bersatu akur kepada Pas, lalu Bersatu merasakan dirinya tidak relevan.
Kedua-dua senario ini menunjukkan rapuhnya PN sebagai gabungan jangka panjang.
Sesungguhnya Muktamar Pas ke-71 memperlihatkan dengan jelas bahawa Perikatan Nasional masih bergelut dengan soal asas – siapa harus jadi peneraju.
Retorik kesatuan yang jadi laungan mereka sebenarnya tidak mampu menyembunyikan perebutan kuasa antara Bersatu dan Pas.
Justeru, sementara PN berdepan dilema dalaman yang melemahkan, PH berada pada kedudukan lebih stabil untuk terus menawarkan naratif inklusif dan kepimpinan nasional yang diyakini rakyat.
Penulis merupakan Ketua Penerangan Keadilan Johor









Comments