Fahmi ziarah Tokoh Wartawan Negara Adibah Amin
- Suara Keadilan

- Mar 17
- 1 min read

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyantuni Tokoh Wartawan Negara, Adibah Amin di kediamannya di Shah Alam pada Isnin.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA serta sumbangan daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) bagi pihak Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebagai tanda penghargaan kepada Adibah yang kini berusia 90 tahun.
"Hari ini kami datang untuk melihat sendiri keadaan beliau yang kurang sihat. Walaupun kini mencecah usia 90 tahun dan tinggal bersama adiknya, kami titipkan doa agar beliau terus diberikan kesihatan yang baik," katanya Fahmi dipetik.
Turut hadir Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah; Ketua Pegawai Eksekutif BERNAMA, Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarah Radio Televisyen Malaysia, Ashwad Ismail serta Timbalan Pengarah ICU JPM Selangor, Najmuddin Jemain.
Adibah yang sinonim dengan watak Cikgu Bedah dalam filem Adik Manja merupakan figura penting dalam dunia kewartawanan dan kesusasteraan negara.
Beliau pernah berkhidmat sebagai editor di The Star dan New Straits Times, selain mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Pengarang Berita di Berita Harian.
Pada Jun 2024, Adibah dinobatkan sebagai Tokoh Wartawan Negara 2023 pada Malam Wartawan Malaysia bersempena Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2023.
Beliau kini berada dalam keadaan uzur berikutan faktor usia dan memerlukan penjagaan sepenuh masa.
Sementara itu, Fahmi menyatakan harapan agar generasi wartawan muda dapat mencontohi semangat dan perjuangan Adibah dalam memperkukuh profesion kewartawanan di negara ini.
"Harapan saya agar generasi wartawan baharu bukan sahaja memahami perjuangan wartawan terdahulu.
"Peranan mereka bukan sekadar melaporkan berita, sebaliknya turut membentuk negara bangsa yang merdeka dan berdaulat serta meningkatkan kualiti dan etika kewartawanan," tambahnya.




Comments