Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim kini berada di China dalam rangka lawatan kerja ke negara tersebut atas jemputan Perdana Menteri China, Li Qiang untuk menghadiri Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ke-7 di Shanghai.
Jemputan tersebut membuktikan keyakinan serta penghormatan yang konsisten terhadap PMX oleh Perdana Menteri China.
Beliau akan berada di China antara 4 November hingga 7 November dan Shanghai adalah persinggahan pertama beliau sebelum ke Beijing selepas itu.
Hari ini (5 November), Anwar akan memulakan jadualnya dengan berucap pada majlis perasmian CIIE ke-7 dan tahun ini Malaysia telah diberikan penghargaan sebagai “Country of Honour” ekspo tersebut yang berlangsung selama enam hari, bermula hari ini.
Malah Anwar diberi penghormatan untuk berucap sebaik selepas ucapan Perdana Menteri China, Li Qiang sebelum diikuti pemimpin lima negara lain iaitu Perancis, Nicaragua, Arab Saudi, Tanzania dan Uzbekistan.
Perdana Menteri juga akan merasmikan Pavilion Malaysia dan Pavilion Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) pada NECC yang diadakan di kawasan seluas 500,000 meter persegi.
Sejumlah 68 syarikat Malaysia menyertai CIIE tahun ini.
Platform promosi produk
CIIE merupakan inisiatif China untuk menyediakan satu platform kepada negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), bagi mempromosi dan mengeksport barangan dan perkhidmatan ke negara itu.
Anwar kemudiannya dijadual bertemu rakan sejawatannya Li Qiang di The Grand Halls untuk membincangkan isu hubungan dua hala sebagai susulan kepada pertemuan mereka di Putrajaya pada 19 Jun lalu.
Mereka dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian dan kepentingan bersama.
Ini diikuti dengan majlis pengurniaan Profesor Kehormat daripada Universiti Tsinghua kepada Anwar.
Pertukaran dokumen
Selepas itu Anwar dan Li Qiang akan menyaksikan pertukaran dokumen antara Malaysia dan China berkaitan BRI, serta memorandum persefahaman (MoU) kerjasama antara Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Kumpulan Media China.
Dengan jemputan Perdana Menteri China dan penghormatan yang diberikan negara tersebut kepada Anwar, tidak syak lagi hubungan perdagangan Malaysia - China sedang berkembang dan bakal meneroka potensi yang amat baik sekali.
Semua ini, akhirnya adalah sesuatu yang memberi keuntungan berganda kepada masa depan negara.
Anwar pula, demi memakmurkan rakyat dan negara, nampaknya sentiasa bekerja keras dan tidak pernah letih dalam melaksanakan tanggungjawabnya.
_____________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat
댓글