PMX masih berkuasa, lantik PM Interim tidak logik - Sivarasa
- Suara Keadilan

- Jul 11
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Pemangku Pengerusi Biro Guaman KEADILAN Malaysia, R Sivarasa (gambar), menyifatkan desakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin agar Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil cuti dan melantik PM Interim (sementara) atas alasan kebimbangan terhadap campur tangan dalam pelantikan kehakiman sebagai tindakan yang tidak logik.
Beliau menegaskan, sebagai seorang ketua pembangkang, adalah penting untuk Hamzah menjaga pertuturan terhadap sebarang kenyataan yang dikeluarkan.
''Tak logik (contohnya) failkan saman sivil terhadap seseorang PM, lepas itu kata PM kena letak jawatan (sebab ada kes saman sivil). Mana boleh macam itu.
''Dia tak fikirkan isu ini secara betul. Bagi saya kenyataan beliau tak logik,'' katanya ketika dihubungi Suara Keadilan, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kenyataan Hamzah yang mengaitkan Anwar dalam isu pelantikan kehakiman.
Semalam, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut, menyarankan Anwar bercuti dan dilantik seorang PM Interim menggantikan tempatnya.
Saranan itu dibuat berikutan dakwaan bahawa Presiden KEADILAN itu mempunyai kes saman sivil yang masih berjalan, serta kewajaran bagi pelbagai pihak berasa curiga terhadap kemungkinan wujud campur tangan politik dalam urusan pelantikan kehakiman.
Namun cadangan itu ditempelak Sivarasa, yang menyifatkan tidak sewajarnya Hamzah sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia mengeluarkan kenyataan senaif itu.
''Saya minta Hamzah buat yang sepatutnya selari dengan kemuliaan jawatan dipegang beliau.
''Jawatan Ketua Pembangkang ini memang mulia. Dulu Anwar pun pernah jadi Ketua Pembangkang.
''Tetapi cara Anwar mengendalikan jawatan itu jauh beza (dengan Hamzah),'' bidas beliau lagi.
Selain Sivarasa, pengamal undang undang dan ahli akademik juga berasa pelik dengan cadangan Hamzah tersebut kerana ianya bertentangan Perlembagaan Persekutuan.
Hal itu kerana Perdana Menteri sedia ada hanya boleh digantikan dengan PM Interim sekiranya beliau meletak jawatan sebagaimana duluan (precedent) yang dilakukan Perdana Menteri ke-7 Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari 2020 lalu.
Yang di-Pertuan Agong pada waktu itu kemudian melantik beliau sebagai PM Interim. Selain itu, jawatan PM akan dipangku oleh Timbalan Perdana Menteri sekiranya PM bercuti, sakit dan sebagainya.









Comments