PMX manfaatkan sidang ASEAN bawa isu Gaza ke peringkat serantau, global
- Suara Keadilan

- Oct 30
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) berjaya menggunakan Sidang Kemuncak ASEAN ke 47 membawa isu kemanusiaan Gaza ke pentas serantau dan antarabangsa, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan Malaysia memperjuangkan keadilan dan keamanan sejagat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr Zulkifli Hasan, berkata langkah berkenaan selaras dengan pendekatan Malaysia yang bukan sahaja mesra pembangunan dan kemajuan tetapi juga berteraskan nilai rahmah dan kemanusiaan sejagat.
"Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) telah memanggil pelbagai pihak, termasuk masyarakat sivil, NGO dan sektor korporat bagi menyelaras bantuan kepada Gaza dan Palestin.
"Pendekatan ini penting supaya semua sumber dapat dioptimumkan dan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
"Perdana Menteri telahpun menghubungi Presiden El-Sisi (Presiden Mesir) dan melakukan gerak kerja yang lain. Doakan kita dapat melaksanakan apa yang perlu," kata Dr Zulkifli kepada Suara Keadilan.
Menurut beliau, hasil sidang ASEAN turut menyaksikan Deklarasi Kuala Lumpur yang diumumkan bersama Jepun dalam rangka kerja Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) bagi pelaksanaan pelan pembangunan semula Gaza dengan kerjasama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Malaysia menyatakan komitmen dalam usaha pembangunan semula infrastruktur penting, termasuk sebuah sekolah, hospital dan masjid, sebagai bukti komitmen bersama kerajaan, sektor swasta, dan rakyat Malaysia dalam menyokong usaha pemulihan Palestin.
"Deklarasi Kuala Lumpur ini satu anjakan penting. Ia menunjukkan bagaimana Malaysia memanfaatkan platform ASEAN untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa, khususnya bagi membantu rakyat Gaza yang terjejas akibat konflik berterusan," jelas beliau.
Dr Zulkifli berkata, koordinasi yang lebih tersusun kini sedang dijalankan antara kerajaan dan NGO, di samping usaha diplomatik yang melibatkan hubungan langsung Perdana Menteri dengan pemimpin dunia bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat dihantar secepat mungkin.
Tegasnya, pendirian Malaysia kekal konsisten, menolak kezaliman, menyokong perdamaian, dan memperjuangkan hak rakyat Palestin melalui jalan diplomasi dan solidariti kemanusiaan.
"Malaysia bukan hanya bersuara, tetapi turut bertindak. Kita kini dalam proses menyalurkan bantuan segera bersama beberapa negara lain.
"Apa yang lebih penting ialah semangat bersatu hati dan kebersamaan dalam membantu saudara kita di Gaza," ujarnya lanjut.









Comments