Tarik AS: 'PMX, Malaysia terus mara tanpa tepukan daripada pembangkang'
- Suara Keadilan

- Aug 4
- 2 min read
Updated: Sep 22

Oleh: Akmal Manaf
Keputusan Amerika Syarikat (AS) mengurangkan tarif timbal balas terhadap eksport Malaysia daripada 25% kepada 19% membuktikan kejayaan diplomasi yang diterajui Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus menyaksikan Malaysia semakin dihormati di persada antarabangsa.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Lokman Noor Adam menyifatkan keputusan AS itu mengesahkan kredibiliti dan keberkesanan Malaysia yang semakin meningkat di pentas dunia.
Katanya, kejayaan yang dicapai di bawah kepimpinan PM Anwar itu, sekali lagi mencerminkan komitmen Kerajaan Perpaduan dalam mempertahankan kepentingan negara sambil memperluaskan peluang ekonomi untuk rakyat.
"Felo kanan dan penyelaras Pusat Kajian ASEAN di ISEAS, Institut Yusof Ishak, Joanne Lin berkata, jangka masa dan latar belakang geopolitik amat penting dalam mencapai pengurangan tarif itu.
"Beliau menyatakan bahawa peranan Malaysia sebagai perantara yang berjaya dalam genjatan senjata antara Kemboja dan Thailand yang mendapat sokongan AS baru-baru ini, memainkan peranan penting dalam membuka jalan kepada kejayaan ekonomi ini.
"Perjanjian genjatan senjata yang berjaya, dicapai di bawah Pengerusi ASEAN oleh Malaysia, mendapat pujian meluas daripada masyarakat antarabangsa. Momentum diplomatik ini yang kemudiannya diteruskan dalam bidang perdagangan, sekali gus membawa kepada pengurangan tarif oleh AS," katanya dalam kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Lokman menyifatkan reaksi blok pembangkang terhadap kejayaan itu sudah boleh dijangka.
Bidas beliau, ketika tarif berada pada kadar 25%, mereka begitu lantang mengkritik kerajaan, namun membisu seribu bahasa apabila kadar itu telah diturunkan kepada 19%.
"Sekali lagi, tindakan mereka mencerminkan oportunisme politik iaitu lantang bersuara ketika menyerang, membisu ketika perlu mengakui kejayaan negara.
"Daripada bertindak sebagai ‘semak dan imbang’ yang bertanggungjawab, mereka kelihatan lebih fokus untuk menggugat kestabilan demi kepentingan politik peribadi.
"Namun satu perkara yang pasti iaitu Malaysia terus mara dengan atau tanpa tepukan daripada pihak pembangkang.
"Sama ada pembangkang memilih untuk mengiktiraf kemenangan ini atau tidak, hakikatnya di bawah kepimpinan PM Anwar, Malaysia terus meraih penghormatan di peringkat serantau dan global," katanya lagi.
Lokman yang juga Pengarah Komunikasi UMNO menyifatkan, pengurangan tarif itu bukan sekadar angka, tetapi simbol kepercayaan, pengaruh dan diplomasi yang berasaskan hasil.
Puji beliau, daripada menjayakan perdamaian antara jiran, sehingga meredakan ketegangan perdagangan dengan kuasa besar, Malaysia membuktikan bahawa dengan kepimpinan yang teguh dan diplomasi berprinsip, negara kecil juga mampu meraih kejayaan besar.









Comments