PMX gilap semula kerjasama Selatan Global di tengah persaingan kuasa besar
- Suara Keadilan

- Nov 3
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) kini kembali memainkan peranan sebagai 'broker moral dan ekonomi Global Selatan' seiring dengan idealisme Bandung 1955 dan Gerakan Negara Berkecuali (NAM).
Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Datuk Prof Dr Awang Azman Awang Pawi (gambar) berkata, penglibatan tokoh-tokoh Global Selatan seperti Brazil dan Afrika Selatan dalam Sidang ASEAN ke-47 baru-baru ini, menggambarkan kebangkitan semula kerjasama Selatan–Selatan.
"PM Anwar dilihat telah berjaya menyemai semula semangat solidariti Selatan, bukan melalui retorik anti-Barat, sebaliknya dengan pendekatan pragmatik berasaskan kebergantungan yang saling menguntungkan.
"Contoh jelas yang dapat dilihat adalah kerjasama strategik dengan Brazil dalam bioekonomi dan pertanian lestari serta dialog ekonomi Afrika Selatan dengan Mesir berkaitan perdagangan halal dan teknologi pertanian.
"Selain itu, penyertaan aktif Malaysia dalam inisiatif BRICS, walaupun belum menjadi anggota rasmi, satu strategi 'hedging diplomacy' bagi mengekalkan keseimbangan antara China, Barat dan negara-negara Selatan," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas mengenai penglibatan pemimpin Selatan Global seperti Brazil dan Afrika Selatan dalam Sidang ASEAN yang menunjukkan Malaysia telah kembali memainkan peranan sebagai jurucakap negara-negara Selatan dan berkecuali seperti pada era 1990-an.
Turut ditanya sama ada perdagangan dan pengaruh politik dengan negara Selatan akan membantu Malaysia muncul semula sebagai Harimau Asia.
Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, perdagangan dengan negara Selatan telah membuka pasaran baharu yang luas iaitu dari Afrika hingga Amerika Latin.
Beliau berkata, keadaan itu sekali gus mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada blok ekonomi tradisional seperti Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU).
Namun untuk kembali menyandang gelaran Harimau Asia katanya, Malaysia memerlukan dua sinergi utama iaitu kebijakan industri bernilai tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau dan bioekonomi bagi mengelakkan negara tidak terperangkap dalam kitaran ekonomi berasaskan bahan mentah.
"Kedua ialah keutuhan dalaman politik dan institusi agar kestabilan domestik tidak menggugat keyakinan pelabur dan rakan dagang.
"Oleh itu, pengaruh politik Malaysia dalam Selatan Global akan menjadi pemangkin reputasi, manakala kejayaan ekonomi berasaskan inovasi akan menentukan sama ada Malaysia benar-benar menjelma kembali sebagai Harimau Asia baharu yang beretika dan beradab.
"Secara keseluruhan, 'Diplomasi MADANI' PM Anwar telah mengembalikan roh 1990-an dengan semangat baharu abad ke-21, bukan melalui kekuasaan keras, tetapi melalui kekuatan nilai dan keadilan global.
"Jika diteruskan dengan dasar ekonomi progresif dan kestabilan politik jangka panjang, Malaysia bukan sahaja akan memulihkan pengaruh diplomatiknya, tetapi menjadi contoh unggul negara kecil yang berjiwa besar dalam rekayasa global baharu," ujarnya lagi.









Comments