PMX diputuskan tiada kes, untuk apa desak bercuti? - Fakhrulrazi
- Suara Keadilan

- Jul 14
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Tuntutan pemimpin pembangkang yang mahu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) bercuti, apatah lagi sehingga dilantik PM Interim untuk mengambil alih tugas hariannya tidak boleh dilakukan dalam undang undang Malaysia.
Menurut mantan Ahli Dewan Negeri Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar), kenyataan yang dikeluarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berhubung perlunya PMX bercuti dalam menghadapi saman sivil bekas penyelidik beliau, Muhammed Yusoff Rawther amatlah tidak matang dan mengelirukan rakyat.
Katanya, sebelum ini Pejabat Peguam Negara telahpun memutuskan tiada bukti mencukupi untuk mendakwa Anwar di atas dakwaan Yusof dan atas sebab itu PMX telah dibersihkan.
"Kami menyeru semua pihak termasuk pembangkang untuk menghormati prinsip keluhuran Perlembagaan, bebas kehakiman, dan 'rule of law' demi memelihara kestabilan institusi negara.
"Mahkamah telah memutuskan tiada kes, maka tiada justifikasi untuk bercuti. Kes yang dibangkitkan juga telah dinyatakan secara sah oleh mahkamah sebagai tiada prima facie.
"(Dari segi hukum) tiada keperluan undang-undang atau Perlembagaan untuk PM bercuti, dan mengikut Perkara 43 Perlembagaan Persekutuan, PM hanya boleh digugurkan jika hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.
"Tiada juga peruntukan yang menyebut PM mesti bercuti atas tekanan persepsi atau PM mesti ‘membersihkan nama’ jika telah dibebaskan oleh mahkamah," kata beliau dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sama, Mohd Fakhrulrazi membangkitkan persoalan mengenai pendekatan dua darjat serta prinsip konsistensi dalam kalangan pihak pembangkang.
Beliau menempelak tindakan Hamzah dan pemimpin pembangkang lain yang sebelum ini tidak pula mendesak pemimpin mereka sendiri bercuti ketika berdepan kes mahkamah atau siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Sebagai contoh, ada tokoh pembangkang yang tetap menjalankan tugas walaupun masih dalam proses siasatan.
"Malah, ada yang menjadi calon pilihanraya ketika sedang dibicarakan di mahkamah.
"Desakan supaya Anwar bercuti walaupun mahkamah telah membersihkan beliau merupakan satu cubaan berbentuk politik murahan, tidak menghormati keputusan badan kehakiman dan duluan berbahaya yang boleh membuka jalan kepada fitnah dan manipulasi undang-undang untuk menjatuhkan pemimpin," katanya.
Tambah beliau, jika seorang pemimpin yang telah dibersihkan diminta bercuti hal itu akan membuka ruang kepada penyalahgunaan naratif politik bagi menjatuhkan seseorang pemimpin melalui permainan persepsi.
Untuk rekod, kes dakwaan gangguan seksual dari Yusof terhadap Anwar pada 2018 yang digugurkan tidak pula dibuka semula oleh Peguam Negara baharu pada waktu kerajaan Perikatan Nasional memerintah (2020 - 2022) sekiranya terdapat sangkaan kuat bahawa berlaku penyalahgunaan kuasa sewaktu kes itu digugurkan pada era pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (2018 - 2020).









Comments