top of page

NIMP 2030 pacu reformasi industri negara, pekerjaan bernilai tinggi

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 3 hours ago
  • 2 min read

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) terus memperkukuh hala tuju reformasi industri negara dengan memberi tumpuan kepada penciptaan pekerjaan bernilai tinggi serta pengurangan kebergantungan kepada tenaga buruh murah.


Timbalan Menteri MITI, Sim Tze Tzin (gambar) berkata, pelan tersebut menjadi asas kepada perubahan struktur ekonomi Malaysia daripada model berintensif buruh kepada ekonomi berasaskan teknologi dan inovasi.


Menurut beliau, antara sasaran utama NIMP 2030 ialah pembangunan sebanyak 3,000 kilang pintar (smart factory) yang menggunakan automasi sepenuhnya dalam operasi pengeluaran.


"Kita telah mensasarkan 3,000 smart factory menjelang 2030, di mana operasi kilang boleh berjalan secara automatik tanpa kebergantungan tinggi kepada tenaga buruh," katanya.


Beliau menjelaskan, pendekatan itu penting bagi meningkatkan produktiviti industri serta memastikan pekerja tempatan memperoleh gaji lebih tinggi melalui kemahiran teknikal yang lebih maju.


"Dulu kita bergantung kepada model buruh murah, tetapi model itu tidak lagi mampan. Kita mahu beralih kepada ekonomi berasaskan nilai tambah yang memberi gaji lebih tinggi kepada pekerja," kata Tze Tzin dalam wawancara khas bersama Suara Keadilan.


Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 10 Mac memaklumkan, Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia meningkat 5.9 peratus tahun ke tahun pada Januari 2026 dengan sektor Pembuatan mengukuh 7.3 peratus.


Justeru itu beliau berkata, kerajaan menyediakan pelbagai insentif termasuk geran padanan dan sokongan latihan bagi membantu syarikat tempatan mengadaptasi teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), automasi dan Internet of Things (IoT).


"Apabila syarikat beralih kepada automasi, mereka mungkin menggunakan tenaga kerja yang lebih kecil, tetapi pekerja tersebut mempunyai kemahiran lebih tinggi dan menerima gaji yang lebih baik," katanya.


Selain transformasi teknologi, MITI turut memberi tumpuan kepada pembangunan sektor industri strategik yang mampu menjana peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada rakyat.


Beliau mendedahkan bahawa Malaysia kini mempunyai lebih 300 syarikat dalam sektor aeroangkasa, sekali gus menjadikan negara sebagai antara hab penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) pesawat di rantau ini.


"Kita mempunyai industri aeroangkasa yang sangat maju dengan lebih 300 syarikat, khususnya dalam bidang MRO yang memerlukan tenaga kerja teknikal berkemahiran tinggi.


"Syarikat tempatan juga terlibat dalam rantaian bekalan global dengan membekalkan komponen dan perkhidmatan kepada syarikat antarabangsa seperti Boeing dan Airbus.


"Ini membuktikan bahawa syarikat Malaysia bukan sahaja mampu bersaing, malah menjadi sebahagian daripada rantaian bekalan global dalam industri berteknologi tinggi," katanya.


Dalam pada itu, MITI turut mengenal pasti lebih 20 sektor utama yang menjadi tumpuan pembangunan industri negara, termasuk elektrik dan elektronik, peralatan mesin, peranti perubatan, minyak dan gas, tekstil serta industri halal.


"Malaysia mempunyai ekonomi yang sangat pelbagai dengan pelbagai sektor berdaya maju yang boleh menjana peluang perniagaan dan pekerjaan kepada rakyat," ujarnya.


Selain sektor tradisional, kerajaan juga memberi fokus kepada empat sektor pertumbuhan baharu iaitu penangkapan dan penyimpanan karbon (CCUS), kenderaan elektrik (EV), bahan termaju serta tenaga boleh diperbaharui.


"Empat sektor baharu ini akan menjadi pemacu utama ekonomi masa hadapan dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi."


Beliau menegaskan, keseluruhan inisiatif di bawah NIMP 2030 bukan sahaja bertujuan meningkatkan daya saing industri, malah memastikan rakyat Malaysia mendapat manfaat melalui peluang pekerjaan berkualiti dan pendapatan lebih tinggi.


"Matlamat utama kita adalah untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dengan gaji yang lebih baik, selari dengan reformasi ekonomi negara ke arah industri bernilai tinggi," kata Tze Tzin lagi.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page