top of page

Insiden Norway: Malaysia perlu nilai semula sekutu strategik

  • Writer: Helmi Mohd Foad
    Helmi Mohd Foad
  • 12 minutes ago
  • 2 min read

Malaysia perlu menilai semula hubungan pertahanan dan menentukan sekutu strategik yang benar-benar boleh dipercayai susulan pembatalan penghantaran sistem peluru berpandu oleh Norway, kata Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Raja Bahrin Shah (gambar).


Beliau berkata tindakan Norway membatalkan penghantaran sistem peluru berpandu yang ditempah Malaysia sejak 2018 walaupun hampir keseluruhan bayaran telah dibuat menimbulkan persoalan mengenai kebolehpercayaan negara-negara Barat sebagai rakan pertahanan jangka panjang.


"Malaysia serta negara-negara lain yang cintakan kebebasan perlu menilai semula siapakah sahabat dan sekutu yang benar-benar boleh dipercayai pada hari ini.


"Pembatalan secara mengejut terhadap penghantaran sistem peluru berpandu yang ditempah dan dibayar oleh Malaysia daripada Norway sejak 2018 merupakan satu kejutan besar yang meninggalkan rasa kecewa dan pahit mengenai siapa sebenarnya ‘sahabat’ kita," katanya dalam kenyataan hari ini.


Menurut beliau, alasan Norway bahawa sistem berkenaan hanya boleh dijual kepada “sekutu dan rakan kongsi terdekat” menunjukkan Malaysia tidak dianggap sebagai rakan strategik yang dihargai.


Katanya, insiden itu membuktikan Malaysia tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada negara-negara Barat, khususnya anggota NATO, dalam soal keselamatan dan pertahanan.


"Peristiwa ini mungkin membuktikan hakikat bahawa kita tidak boleh bergantung kepada Norway mahupun negara-negara NATO lain secara keseluruhannya untuk membantu apabila berdepan ancaman terhadap keselamatan dan pertahanan negara," katanya.


Raja Bahrin turut merujuk perkembangan di Timur Tengah yang menurutnya menunjukkan kuasa-kuasa Barat semakin sukar dipercayai, termasuk terhadap sekutu mereka sendiri.


"Pengalaman terkini yang menyaksikan Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu NATO tidak membantu Emiriah Arab Bersatu (UAE), walaupun negara itu dianggap sekutu rapat mereka ketika berdepan serangan balas Iran merupakan bukti jelas tentang ketidakbolehpercayaan Barat," katanya.


Sehubungan itu, beliau menggesa Malaysia dan negara-negara ASEAN memperkukuh kerjasama serantau dalam menghadapi dunia yang semakin bersifat multipolar.


Beliau juga berkata Malaysia perlu memberi perhatian kepada kuasa-kuasa Asia yang semakin meningkat pengaruhnya seperti China, Jepun dan Korea, selain memperluaskan kerjasama pertahanan dengan Turkiye yang kini muncul sebagai antara pengeluar aset pertahanan utama dunia.


"Malaysia boleh beralih kepada industri pertahanan Turkiye untuk mendapatkan senjata canggih dan pesawat pejuang," katanya.


Menurut Raja Bahrin, hubungan baik antara Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan wajar dimanfaatkan demi kepentingan negara.


Katanya, Malaysia juga perlu menerima realiti perubahan landskap geopolitik global serta memberi perhatian kepada kerjasama ekonomi dan strategik dalam kerangka dunia multipolar termasuk BRICS.


"Malaysia perlu menerima sepenuhnya konsep dunia multipolar dan komited kepada realiti ekonomi baharu yang dibawa oleh BRICS sebagai hala tuju masa depan yang lebih terjamin dan cerah," katanya.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page