PMX dicalon Hadiah Nobel Keamanan, Malaysia suara nurani dunia
- Suara Keadilan
- Aug 4
- 2 min read

Pencalonan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) sebagai penerima Hadiah Nobel Keamanan disifatkan sebagai pengiktirafan kepada pendekatan diplomasi berteraskan nurani yang dibawa Malaysia ketika dunia yang semakin terbelah akibat peperangan, ketidakseimbangan kuasa dan krisis kemanusiaan berterusan.
Menurut karyawan dan editor perunding Mohamed Nasser Mohamed, pencalonan tersebut mencerminkan satu transformasi besar dalam peranan Malaysia di peringkat antarabangsa daripada sebuah negara membangun kepada pelopor diplomasi damai dan keadilan global.
"Ini bukan semata-mata tentang PMX, tetapi tentang Malaysia yang berjaya meletakkan semula suara kecil dari Asia Tenggara sebagai rujukan moral dunia.
"Malaysia kini muncul sebagai negara kecil yang menjunjung prinsip besar," katanya dalam satu tulisan disiarkan Free Malaysia Today.
Mohamed Nasser menegaskan bahawa PM Anwar telah memainkan peranan luar biasa dalam isu Palestin, bukan sekadar melalui kenyataan politik malah menerusi tindakan diplomatik dan bantuan langsung.
Sebelum ini Malaysia menjadi antara negara paling lantang menyuarakan pembelaan terhadap rakyat Palestin termasuk melobi negara-negara Islam dan ASEAN supaya mengambil pendirian lebih tegas terhadap kezaliman Israel.
Malah, Malaysia antara negara yang pertama menggesa penubuhan tribunal antarabangsa untuk menyiasat jenayah perang di Gaza.
"Apa yang membezakan Malaysia ialah konsistensi. Ketika negara lain mengeluarkan kenyataan semasa krisis memuncak, Malaysia kekal dengan pendirian tegas, tidak kira waktu dan suasana," kata beliau.
Mohamed Nasser turut menyorot peranan penting Malaysia dalam konflik serantau Thailand–Kemboja, khususnya berkaitan pertikaian kawasan kuil Preah Vihear.
Dengan menggunakan rangkaian diplomatik tertutup dan kepercayaan yang dibina dalam ASEAN, Malaysia berjaya mempertemukan pemimpin kedua-dua negara dalam perundingan sulit di Putrajaya yang akhirnya membawa kepada pengumuman gencatan senjata sementara, ujarnya.
"Ini bukan retorik perdamaian, tetapi diplomasi yang hidup dan berfungsi. PMX dan pasukannya menunjukkan keberanian untuk memadam api sebelum ia menyala," jelas beliau.
Mohamed Nasser turut menegaskan bahawa kekuatan Malaysia bukan pada saiz ekonominya atau kuasa ketenteraan, tetapi pada keikhlasan dalam mempertahankan prinsip.
"Malaysia tidak berkecuali bila prinsip dilanggar. Dalam dunia yang letih dengan kerakusan kuasa, pendekatan Malaysia ini menjadi nafas segar," katanya.
Beliau menyifatkan pencalonan nobel tersebut sebagai titik penting untuk Malaysia mengorak langkah lebih jauh, termasuk memperluaskan konsep diplomasi damai kepada bidang pendidikan, kerjasama budaya dan ekonomi kemanusiaan rentas negara.
Antara cadangan beliau ialah penubuhan Sekretariat Aman ASEAN, pusat latihan perdamaian serta penerbitan dokumen rasmi diplomasi Malaysia yang boleh dijadikan rujukan global.
Dalam satu wawancara sebelum ini, Anwar turut menegaskan bahawa pencalonan Nobel bukan tentang pingat peribadi tetapi cita-cita lebih besar.
"Jika dunia mahu memberikan saya apa-apa, biarlah dunia terlebih dahulu memberikan keamanan kepada Gaza, Rohingya, Sudan, dan semua wilayah yang hilang suara," kata Anwar, yang petikannya dikongsi meluas oleh NGO dan media sosial.
Mohamed Nasser menyarankan agar pencalonan ini digerakkan sebagai satu inisiatif nasional.
"Malaysia memiliki kisah damai yang unik. PMX adalah wajah kepada kisah itu. Pencalonan ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada tanggungjawab lebih besar untuk Malaysia terus menjadi cahaya dalam dunia yang semakin gelap," katanya.
Pencalonan PMX turut mendapat liputan media antarabangsa dengan pengamat politik menyifatkan ia sebagai bukti bahawa suara Asia Tenggara semakin diterima dalam wacana keamanan dunia.
Comments