PMX berjaya tarik Brazil, Afrika Selatan ke sidang ASEAN, peluang ekonomi baharu
- Suara Keadilan

- Oct 30
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Pendekatan dasar luar seimbang yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), bukan sahaja mengangkat imej Malaysia di pentas dunia, malah menarik minat negara negara Selatan Global seperti Afrika Selatan dan Brazil untuk mengambil peranan aktif menyertai sidang Kemuncak ASEAN ke 47 yang berakhir 28 Okt lalu.
Ketua Biro Latihan dan Perkaderan Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Ashraf Hadi berkata, Malaysia di bawah PMX juga membuktikan kejayaan menarik kehadiran pemimpin utama dunia daripada Amerika Syarikat, China, Rusia, Brazil dan beberapa negara penting lain seperti Australia, New Zealand juga Kanada ke Kuala Lumpur.
Kesan besar kepada pengiktirafan dunia itu, kata beliau, tentunya peningkatan pelaburan ke Malaysia dan peluang pekerjaan lebih banyak buat generasi muda.

"Malaysia kini menjadi pelantar diplomasi yang dipercayai semua pihak, sama ada blok Barat, Timur mahupun Selatan Global. Ia membuktikan dasar luar kita diterima dan diyakini, seterusnya menarik pelaburan asing ke negara ini.
"Kesan langsung dasar itu ialah melalui manfaat ekonomi, peningkatan peluang pekerjaan dan kerjaya bernilai tinggi, khususnya kepada anak muda.
"Kalau tidak ada pelaburan, tidak akan ada peluang pekerjaan. Usaha Perdana Menteri membuka ruang ekonomi global ini memberi harapan baharu kepada generasi muda untuk memperkukuh masa depan mereka," katanya kepada Suara Keadilan.
Kata Ashraf, kestabilan politik dan hala tuju ekonomi yang jelas memberi keyakinan kepada pelabur antarabangsa untuk terus menanam modal di Malaysia dan AMK turut menegaskan komitmennya untuk terus mendekati anak muda, menjelaskan peluang yang wujud hasil diplomasi dan pelaburan baharu negara.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang berlangsung dari 26 hingga 28 Oktober di bawah tema ‘Keterangkuman dan Kemampanan’ bukan sekadar memberi tumpuan kepada isu politik dan keselamatan, malah merangkumi semua sektor termasuk isu wanita, kanak-kanak dan anak muda.
Antaranya termasuk kerjasama Commonwealth Youth Innovation Hub (CYIH), Sekretariat Komanwel dan ASEAN bertujuan menyediakan platform untuk belia dari negara-negara Komanwel dan ASEAN menyuarakan pandangan, idea serta penyelesaian terhadap isu bersama yang dihadapi generasi muda di seluruh dunia.
Untuk rekod, penyertaan ketua ketua negara mewakili semua benua ke Sidang Kemuncak ASEAN mencatat rekod baharu bagi pertubuhan serantau itu.
Penyertaan Presiden Afrika Selatan dan Brazil dari dua benua (Afrika dan Amerika Selatan) yang mencatat pertubuhan ekonomi tinggi pada waktu ini memberi peluang besar kepada Malaysia dan ASEAN untuk meluaskan pasaran produk keluaran mereka ke negara baharu selepas berdepan tarif yang menggugat perdagangan dua hala dikenakan Amerika Syarikat.









Comments