
Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim tengah hari tadi menziarahi keluarga mangsa pesawat terhempas di Shah Alam, semalam.
Beliau yang ditiba di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang turut diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi, Menteri Besar Selangor sementara Datuk Seri Amirudin Shari dan beberapa kenamaan yang lain.
"Saya singgah di Jabatan Forensik, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang bagi menziarahi waris mangsa nahas pesawat yang terhempas di Bandar Elmina, Shah Alam semalam.
"Dalam pertemuan itu saya titipkan takziah kepada keluarga supaya bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian berat ini," katanya dalam hantaran di Facebook.

PM juga memaklumkan usaha sedang dilakukan bagi mempercepatkan proses forensik sambil dibantu pelbagai pihak terbabit seperti Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Selangor.
"Kerajaan juga akan melakukan sedaya upaya dalam membantu meringankan beban keluarga mangsa antaranya keperluan pengurusan jenazah selain bantuan berupa peluang pekerjaan kepada waris mangsa yang terkesan dalam nahas tersebut.
"Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menguruskan kebajikan waris mangsa dan bertungkus-lumus bagi memastikan segala-galanya berjalan dengan lancar," katanya.
Ahli Parlimen Tambun itu mengambil kesempatan dalam lawatan berkenaan untuk menzahirkan solidariti dan dukungan moral serta emosi kepada keluarga mangsa yang terlibat.