PM umum RM500 juta untuk baik pulih kerosakan banjir
- Suara Keadilan

- 13 minutes ago
- 1 min read

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Selasa mengumumkan peruntukan sebanyak RM500 juta untuk membaiki kerosakan infrastruktur awam terjejas banjir di beberapa negeri baru-baru ini.
Perdana Menteri berkata, semua jabatan di bawah kerajaan negeri dan Persekutuan telah diarahkan supaya melakukan penilaian kerosakan serta melaksanakan kerja pembaikan dengan segera.
"Ini termasuk sekolah, klinik, kemudahan asas dan jalan... untuk segerakan, saya meluluskan RM500 juta untuk tujuan membaiki kerosakan akibat banjir," katanya dipetik di Dewan Negara semalam.
Terdahulu, beliau yang juga Menteri Kewangan membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi bacaan kali kedua.
RUU Perbekalan itu telah diluluskan semalam di Dewan Rakyat selepas dibentangkan pada 10 Oktober lalu.
Sementara itu menurut Anwar, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah meningkatkan kesiapsiagaan dan melaksanakan tindakan sewajarnya bersama pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri dalam mendepani bencana itu.
Dalam aspek keselamatan dan kesiapsiagaan bencana, Anwar berkata, Nadma menerima RM460 juta manakala RM2.2 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan 43 projek Rancangan Tebatan Banjir di seluruh negara.









Comments