PM umum peruntukan selenggara sekolah, termasuk pondok RM2 bilion


Peruntukan kerja membaikpulih dan menyelenggara semua jenis sekolah ditingkatkan kepada RM2 bilion bagi tahun depan, berbanding RM1 bilion pada 2026.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan itu meliputi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di bawah Kementerian Pendidikan (KPM), selain sekolah agama rakyat, institusi tahfiz serta sekolah pondok berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
"Kerajaan setuju supaya peruntukan bagi membaikpulih dan menyelenggara semua jenis sekolah ditingkatkan, daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pda Jumaat.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, peruntukan bagi sekolah kebangsaan ditingkatkan kepada RM900 juta, manakala sekolah jenis kebangsaan Cina menerima RM100 juta dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak RM50 juta.
"Peruntukan bagi sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar di bawah JAKIM pula dinaikkan kepada RM200 juta, dengan skop bantuan diperluas untuk merangkumi kos operasi institusi berkenaan," jelasnya.
Perdana Menteri turut memaklumkan, kerajaan turut merancang pembinaan sekolah baharu, bangunan prasekolah serta penambahan kemudahan di sekolah sedia ada.
"Antara projek yang dikenal pasti ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chemor di Ipoh, Perak; Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang, Selangor; pembinaan gantian penuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Pamol di Kluang, Johor; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Mahkota Cheras; serta bangunan prasekolah di SK Bulu Silou, Keningau, Sabah," katanya.
Belanjawan 2027 menyaksikan secara keseluruhan, KPM kekal menerima peruntukan tertinggi, iaitu hampir RM69 bilion berbanding RM66.2 bilion pada tahun ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan bantuan Awal Persekolahan dinaikkan daripada RM150 kepada RM200 bagi setiap murid membabitkan kira-kira 5.3 juta murid dengan peruntukan keseluruhan RM1 bilion.
Manakala kira-kira 90,000 pelajar Tingkatan Enam bakal menerima Elaun Sara Hidup sebanyak RM2,500.




Comments