PM umum peruntukan RM100,000 kepada program RXZ Members 7.0
- Suara Keadilan

- Aug 19
- 1 min read

Program RXZ Members 7.0 2025 yang akan berlangsung hujung minggu ini di Litar Permotoran Gong Badak, Terengganu mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut beliau, Kerajaan MADANI menyokong sepenuhnya inisiatif komuniti dalam memperkukuh budaya permotoran yang positif, selamat dan berdaya maju demi manfaat rakyat.
"Program ini menjadi platform utama menghimpunkan para peminat, sekali gus mengangkat potensi industri permotoran ke tahap lebih tinggi.
"Kerajaan turut melihat penganjuran aktiviti berimpak tinggi seperti ini sebagai penyumbang penting kepada pembangunan ekonomi setempat," katanya dalam satu kenyataan.
Bagi menunjukkan komitmen kerajaan, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan awal sebanyak RM100,000 untuk menjayakan program tersebut.
Perdana Menteri juga memaklumkan, bantuan serta kawalan sewajarnya bakal diberikan pihak polis bagi memastikan kelancaran dan keselamatan sepanjang penganjuran.
"Peserta dan penganjur diingatkan supaya mematuhi peraturan jalan raya, mengamalkan sikap bertanggungjawab serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
"Semoga program ini bukan sahaja menjadi wadah permotoran yang positif, tetapi juga medan memperkukuh perpaduan nasional dan semangat patriotisme rakyat Malaysia," tambah beliau.









Comments