top of page

PM ucap takziah pemergian tokoh wartawan negara Ahmad Rejal Arbee



Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah kepada keluarga tokoh wartawan negara, Allahyarham Datuk Ahmad Rejal Arbee Mohamed Isa Arbee, atas pemergiannya awal pagi ini.


Perdana Menteri (PM) berkata jasa dan sumbangan serta buah fikiran yang pernah Allahyarham Ahmad Rejal lontarkan memberikan kesan mendalam dalam dunia persuratkhabaran dan kewartawanan di negara ini.


"Takziah saya utuskan kepada keluarga Allahyarham. Mendoakan ruh allahyarham diampunkan segala dosanya dan diberi tempat istimewa di sisiNya, inshaAllah," kata Anwar dalam hantaran di Facebook.


Ahmad Rejal yang merupakan Tokoh Wartawan Negara 2014 dan bekas Pengarang Kumpulan Berita Harian (BH) meninggal dunia awal pagi tadi.


Perkara itu disahkan isteri Allahyarham, Datin Noraini Shariff melalui hantaran di Facebook memaklumkan suaminya telah menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2 pagi.


Ahmad Rejal Arbee, 83, yang meninggal di Hospital Shah Alam juga merupakan bekas Ketua Pengarang BERNAMA.


Solat jenazah diadakan di Masjid Seksyen 7 Shah Alam kira-kira pukul 10 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Seksyen 21, Shah Alam.


Ahmad Rejal Arbee mula berkhidmat dengan BERNAMA pada 1969 sebagai pemberita kanan sebelum ke Jakarta, Indonesia sekali gus menjadi pewarta luar negara pertama agensi berita itu pada 1973.

Allahyarham juga antara pengamal media terawal yang meneroka konsep media dwibahasa dan merupakan kakitangan pengasas BERNAMA.


Sepanjang di BERNAMA, beliau pernah menjawat jawatan Ketua Meja Politik dan Parlimen, kemudian dilantik Timbalan Pengarang dan Ketua Bahagian Ekonomi sebelum meninggalkan agensi berita itu untuk menyertai News Straits Times (NST) pada 1976.


Bagaimanapun, Ahmad Rejal Arbee kembali menyertai BERNAMA sebagai Ketua Pengarang pada 1981 sebelum menamatkan perkhidmatan pada 1989.


Allahyarham juga pernah memegang jawatan sebagai Pengerusi Institut Akhbar Malaysia (MPI) pada Januari 1984 hingga April 1989.


Beliau menjawat jawatan Pengarang Kumpulan BH bermula 1998 hingga 2003.


Ahmad Rejal Arbee dinobatkan Tokoh Wartawan Negara 2014 sempena majlis Penganugerahan Tokoh Wartawan Negara dan Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2014.


Anugerah itu bagi menghargai sumbangan cemerlang wartawan veteran berkenaan dalam bidang penulisan dan kewartawanan tanah air.


Turut dipilih menerima anugerah pada tahun itu ialah bekas Pengarang Bersekutu NST, Allahyarham Zainon Ahmad.

0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page