PM ucap takziah, istiadat pengebumian pembesar negara buat Dr Hasmah


Kerajaan akan memberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali yang meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pagi ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Panglima Angkatan Tentera (PAT) membantu urusan pengurusan pengebumian Allahyarham.
"Bagi pihak Kerajaan MADANI dan seluruh rakyat Malaysia, saya menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah atas pemergian Almarhumah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pagi tadi.
"Negara tetap mengenang sosok keibuan dan menghargai jasa Almarhumah.
"Saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Almarhumah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Allahyarham, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meninggal dunia pada usia 100 tahun di IJN pagi ini.
Pemergian beliau disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir ketika dihubungi Bernama.
Allahyarham dilaporkan menghembuskan nafas terakhir sekitar 9.20 pagi.
Van ambulan IJN dilihat membawa keluar jenazah Allahyarham Dr Siti Hasmah kira-kira pukul 10.40 pagi.
Perdana Menteri turut menzahirkan ingatan dan doa kepada Tun Dr Mahathir serta seluruh keluarga.
"Ingatan dan doa saya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad serta seluruh keluarga dalam menghadapi kehilangan ini.
"Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Almarhumah, menerima segala amal baktinya dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah," katanya.
Dr Siti Hasmah dilahirkan di Klang, Selangor pada 12 Julai 1926 dan merupakan antara wanita Melayu terawal yang menceburi bidang perubatan.
Beliau memperoleh ijazah perubatan pada 1955 sebelum memulakan kerjaya dalam perkhidmatan kesihatan awam.
Dalam kerjayanya, Allahyarham pernah menjadi Pegawai Perubatan di Hospital Besar Alor Setar dan mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah pada 1974.
Beliau turut aktif dalam bidang kesihatan awam, khususnya berkaitan kesihatan ibu dan anak.
Allahyarham mendirikan rumah tangga dengan Tun Dr Mahathir pada 4 Ogos 1956 dan pasangan itu dikurniakan tujuh cahaya mata.




Comments