Dua keluarga tinggal di bawah jambatan dibantu KEADILAN Bukit Bintang


Dua keluarga bersama anak-anak kecil yang sebelum ini hidup merempat di bawah sebuah jambatan mendapat perhatian Pejabat KEADILAN Bukit Bintang, Wilayah Persekutuan selepas menerima maklumat daripada pihak polis, baru baru ini.
Ketua Penerangan KEADILAN Bukit Bintang, Tengku Imran Tengku Zainal Abidin, berkata maklumat mengenai keadaan kedua-dua keluarga itu diterima daripada pihak IPD Wangsa Maju pada 13 September lalu.
Susulan maklumat tersebut, katanya, beliau bersama pasukan telah turun ke lokasi kira-kira jam 11 malam pada hari yang sama bagi meninjau keadaan keluarga berkenaan serta mendapatkan maklumat asas untuk tujuan penyediaan laporan dan tindakan susulan dengan pihak berkaitan.
"Selepas menerima maklumat daripada pihak polis, kami turun sendiri ke lokasi untuk melihat keadaan sebenar kedua-dua keluarga ini. Tinjauan awal penting bagi mendapatkan maklumat yang tepat sebelum perkara ini dibawa kepada agensi berkaitan," katanya.

Menurut Tengku Imran, lawatan susulan dilakukan pada 16 September lalu, kira-kira jam 11 malam, bersama Pegawai MAIWP, Ustaz Ishak Zulkifly, serta Wakil Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Wakil MPP WPKL), Zaimi Shamsuri, bagi mengesahkan keadaan dan keperluan keluarga tersebut.
Hasil lawatan itu, katanya, pihak MAIWP memberikan penjelasan mengenai bentuk bantuan yang boleh dipertimbangkan dan bersetuju untuk membantu dari segi deposit penyewaan rumah serta bantuan bayaran sewa bulanan, tertakluk kepada kelayakan dan prosedur yang ditetapkan.
Dalam lawatan tersebut, Tengku Imran turut menyerahkan barangan keperluan dapur kepada keluarga berkenaan sebagai bantuan segera.
Penempatan sementara
Beliau yang juga Ketua Penerangan KEADILAN Bukit Bintang berkata, pihaknya berusaha menyediakan penempatan sementara kepada keluarga berkenaan di hotel sementara menunggu rumah sewa yang sesuai diperoleh.
Usaha tersebut direalisasikan pada 17 September 2026, apabila Tengku Imran bersama pasukan KEADILAN Bukit Bintang membawa kedua-dua keluarga berkenaan ke sebuah hotel berdekatan untuk penempatan sementara.
"Keutamaan kami pada ketika itu adalah memastikan mereka, terutama anak-anak kecil, tidak lagi perlu bermalam di bawah jambatan sementara menunggu penyelesaian yang lebih kekal," katanya.
Pada malam sama, seorang kanak-kanak berusia kira-kira tiga tahun yang mengalami demam turut dibawa ke klinik untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ketua Cabang KEADILAN Bukit Bintang, Anwar Pawan Chik, turut menyerahkan sumbangan kewangan bagi membantu menampung perbelanjaan kedua-dua keluarga sepanjang tempoh penempatan sementara di hotel.
Tengku Imran berkata, tindakan seterusnya kini adalah mendapatkan sebuah rumah sewa yang bersesuaian dan setelah rumah yang sesuai dikenal pasti, pihaknya akan membantu mengemukakan perkara tersebut kepada MAIWP bagi tujuan mendapatkan bantuan deposit dan bayaran sewa bulanan.
"Kita tidak mahu bantuan ini terhenti setakat menyediakan hotel untuk beberapa hari. Matlamat kita adalah untuk membantu mereka mendapatkan penempatan yang lebih stabil supaya anak-anak mereka mempunyai tempat tinggal yang selamat dan kehidupan yang lebih teratur," katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa isu keluarga yang hidup dalam keadaan sedemikian memerlukan kerjasama pelbagai pihak, termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, badan kebajikan, pertubuhan masyarakat dan komuniti setempat.
"Kes seperti ini tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja. Apa yang penting ialah kita mengenal pasti keperluan sebenar keluarga, mendapatkan agensi yang berkaitan dan memastikan bantuan yang diberikan membawa kepada penyelesaian yang lebih berpanjangan," katanya lagi.




Comments