PM Anwar, Wan Azizah beri penghormatan terakhir kepada Dr Hasmah


Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham Tun Dr Hasmah Mohd Ali di Masjid As-Syarif, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan.
Perdana Menteri dan Azizah tiba kira-kira pukul 4 petang dan disambut suasana hiba ketika orang ramai, pemimpin politik serta pegawai kanan kerajaan berkumpul di masjid berkenaan bagi menunaikan solat jenazah isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Anwar turut dilihat bersalaman dengan Dr Mahathir dan menyampaikan ucapan takziah atas pemergian Allahyarham Dr Hasmah.
Turut mengiringi Anwar ialah Penasihat Politik Kanan Perdana Menteri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Antara kenamaan yang hadir ialah bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil, Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama tunangnya, Bella Astillah.
Dr Mahathir tiba lebih awal dengan kenderaan berasingan dan mengenakan baju Melayu berwarna putih.
Jenazah Allahyarham Siti Hasmah tiba di masjid kira-kira pukul 2.55 petang selepas dibawa dari kediaman keluarga di The Mines, Seri Kembangan.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan Allahyarham Siti Hasmah akan dikebumikan di sebelah pusara Allahyarham Tun Endon Mahmood di Makam Pahlawan, Presint 20, Putrajaya.
Menurut beliau kerajaan telah mengarahkan persiapan bagi memastikan Allahyarham diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara.
"Kerajaan sudah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara dan Panglima Angkatan Tentera untuk memastikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara diberikan kepada Dr Siti Hasmah.
"Susulan keputusan keluarga, jenazah Dr Hasmah akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Presint 20, Putrajaya," katanya petik laporan media tempatan.
Terdahulu, Anwar mengumumkan Allahyarham Dr Hasmah akan diberikan penghormatan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara susulan kematiannya di Institut Jantung Negara (IJN).
Allahyarham Dr Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN pada pukul 9.20 pagi tadi.
Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke Masjid As-Syarif untuk solat jenazah sebelum dibawa ke Makam Pahlawan, Presint 20, Putrajaya bagi istiadat pengebumian.




Comments